Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Gaza: Patutkah kita melihat sahaja?

$
0
0

MOHD AZMI ABDUL HAMID 


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru masyarakat dunia untuk bangun dan bertindak balas terhadap serangan Israel keatas Gaza. Kini dunia sedang menyaksikannya secara langsung berkali-kali dalam setiap dalam media.

Duduk dan hanya menonton berita gelimpangan mayat kanak-kanak dan wanita melalui saluran televisyen mencerminkan tiadanya usaha berbuat sesuatu terhadap pembunuhan kejam itu.



Berdiam diri bukan satu pilihan. Bisu berpeluk tubuh adalah sama seperti menjadi sebahagian daripada rancangan besar penjenayah Israel melaksanakan pembunuhan beramai-ramai itu.

Kami memetik tulisan Noams Chomsky "Israel menggunakan jet serangan canggih dan kapal tentera laut untuk mengebom kem-kem pelarian, sekolah, hospital, apartmen, masjid dan kawasan miskin untuk menyerang penduduk yang tidak mempunyai pertahanan udara, tiada tentera laut, tiada senjata berat, tiada unit artileri, tiada perisai mekanikal, tiada pusat arahan perang, tiada angkatan tentera dan kita masih menamakannya perang, ITU BUKAN PERANG, IA ADALAH PEMBUNUHAN / PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI."

Pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak di Khan Yunis, Gaza oleh serangan udara Israel adalah merupakan jenayah perang sangat zalim dan dahsyat dan sama sekali tidak boleh diterima.

Sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dan 25 yang lain cedera dalam satu serangan pada hari Selasa, yang mensasarkan rumah di bandar selatan Khan Yunis.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra, berkata serangan itu "mensasar rumah keluarga al-Kaware."

Menurut saksi, roket yang dilancarkan memberi nyalaan amaran, mendorong saudara-mara dan jiran-jiran untuk berkumpul di rumah untuk perlindungan. Tetapi F-16 dengan serta-merta melepaskan peluru berpandu yang menghancurkan bangunan.

Tentera Israel berkata ia telah menjalankan 40 serangan udara di jalur pantai pada hari Selasa. Beberapa bangunan kediaman telah disasar dalam serangan tersebut. Mohammad Shabaan, seorang komander tentera Hamas, adalah antara yang terkorban.

Kami menyeru semua agensi-agensi antarabangsa untuk tidak mengulangi kesilapan dengan menunggu serangan tentera Israel dihentikan atas kehendaknya sendiri. Skala kematian yang akan meningkat mengikut setiap jam tidak sepatutnya hanya menjadi bahan pengiraan untuk direkod, selepas semua kemusnahan telah dilakukan. Pencerobohan tentera Israel perlu dihentikan dengan kekerasan.

Tiada siapa menafikan apa yang rejim Israel laksanakan kini adalah jenayah perang yang sangat berat. Pembunuhan dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Gaza telah menjadi zon pembunuhan untuk apa yang dikenali sebagai Operation Protective Edge.

Untuk mengekang keganasan Israel memang tiada lagi keraguan bahawa tindak balas ketenteraan tidak dapat dielakkan. Satu-satunya bahasa yang Israel fahami adalah tindakan ketenteraan sebagai serangan balas.

Majlis Keselamatan PBB selama ini hanya berfungsi untuk menjamin keselamatan Israel dan tidak pernah mempunyai apa-apa resolusi yang diluluskan untuk menghukum Israel atas jenayah perang yang dilakukan. Oleh itu, bergantung kepada Keselamatan PBB adalah satu pembaziran masa.

Jika ada apa-apa langkah berkesan yang boleh diambil Majlis Keselamatan PBB, adalah  dengan menggerakkan satu pasukan keamanan untuk dihnatar ke Gaza . Namun hal ini juga tidak cuba untuk dilaksanakan  kerana terikat dengan kuasa veto oleh kuasa-kuasa besar.

Kini tidak ada kerajaan yang cukup tegas untuk memberi tekanan kepada Israel. Tiada satu negara mempunyai keberanian untuk menghukum Israel secara langsung untuk memaksa ia menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu.

Kami mendesak supaya satu mobilisasi di seluruh dunia digerakkan untuk menyokong pertahanan Gaza dengan apa saja cara sekalipun. Gaza telah menjadi satu medan pembunuhan.

Kami menyeru agar kempen BDS (Boikot, Alih Pelaburan, Sekatan) dilancarkan terhadap Israel secara intensif oleh masyarakat sivil di seluruh dunia. Israel perlu dihukum seberat-beratnya melalui penguatkuasaan sekatan ekonomi dan sosial.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden MAPIM

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722