Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

5 dalil mengapa 13 Mei mustahil akan berulang

$
0
0
impian malaysia


Artikel ini ditulis pada saat negara ini berhadapan dengan cabaran getir dari dalam dan luar negara. Di peringkat antarabangsa, reputasi dan kehormatan negara terancam dengan insiden kehilangan MH730, kes penculikan pelancong asing di Sabah yang tidak selesai, penglibatan sebilangan kecil rakyat negara ini dalam anasir subversif di Syria (militan atau jihad, bergantung pada perspektif masing-masing), dan, terbaru, dakwaan pecah rumah dan cubaan merogol oleh diplomat Malaysia di New Zealand.

Dalam negara pula, integriti pentadbiran Najib Razak dipersoal berikutan campur tangan eksekutif dalam kes pemecatan Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Datuk Dr Redzuan Osman. Belum selesai isu ini, rakyat Malaysia berang dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Bin Tengku Mansor mahu menghukum pemberi dan peminta sedekah. Tambah megguris hati, kenyataan tidak berperikemanusiaan ini dibuat dalam bulan Ramadan yang menuntut agar memperbanyakkan sedekah. Entah kebetulan atau tidak, tiba-tiba berlaku pula runtuhan tanah di Jalan Imbi berhampiran tapak pembinaan di atas bekas Penjara Pudu. Malang bertimpa-timpa, entah dugaan, entah balasan.

Malangnya, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memilih untuk tidak bertindak sebagai pemimpin yang berwibawa dengan menangani isu dalam dan luar negara ini (negara ini rasanya sudah lama berhenti berharap kepada Perdana Menteri Najib Razak yang takut menyatakan sikap). Sebaliknya, Muhyiddin Yassin, memilih untuk bercakap berkenaan ancaman akan berlakunya rusuhan kaum 13 Mei. Kononnya, ketegangan kaum di negara ini sedang memuncak dan akan mengakibatkan berlakunya rusuhan kaum.

Bayangkan jika pemimpin Pakatan Rakyat – tidak kiralah Anwar Ibrahim, Hadi Awang atau Kit Siang – yang menyebut kenyataan sebegini, pastinya mereka akan didakwa kerana menghasut dan berniat untuk memecah-belahkan keharmonian kaum.

Tambahan pula, kenyataan Muhyiddin Yassin ini tidak disandarkan kepada apa-apa fakta, hanya berdasarkan kiriman SMS yang diterimanya. Beliau sebagaimana dipetik dalam Utusan bertarikh 5 Julai 2014 berkata:
“Saya sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri setiap malam sebelum tidur memikirkan macam mana hendak uruskan negara. Ada orang hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya, ‘apa hendak jadi dengan Melayu’, ‘kenapa Islam dihina’ dan hal-hal yang sama.”
Mungkin inilah akibatnya apabila menafikan kajian akademik bebas yang dijalankan oleh Umcedel, Timbalan Perdana Menteri hanya bergantung kepada SMS yang diterima beliau setiap malam daripada orang-orang kuat UMNO-BN semata-mata (siapa lagi yang ada nombor telefon peribadi TPM? Ahli biasa UMNO tentu tak ada!) bagi memahami sentimen masyarakat terbanyak di negara ini. Maka, atas kesedaran ini, bersama dengan ini disertakan lima dalil mengapa 13 Mei mustahil akan berulang.

Pertamanya, struktur masyarakat Malaysia tahun 1969 sangat berbeza dengan tahun 2014. Akibat dasar pecah perintah yang panjang oleh kolonial British serta laissez-faire zaman Tunku Abdul Rahman, pemisahan kaum mengikut bidang ekonomi dan geografi sangat mencolok. Namun, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), khasnya peringkat awal zaman Tun Razak, yang mementingkan masyarakat terbanyak, telah mengubah struktur ekonomi dan sosial negara. Kini pengenalan sektor ekonomi berasaskan kaum semakin pudar meskipun jurang pendapatan dalam setiap kaum semakin melebar akibat peralihan orientasi DEB pada zaman Mahathir yang lebih ghairah membantu Melayu (dan bukan-Melayu) super kaya. Namun, di sebalik semua ini, interaksi antara masyarakat berbilang kaum relatifnya semakin baik.

Keduanya, pemodenan pantas ketika awal 1990an yang dipacu oleh kemakmuran hasil minyak Petronas yang ditubuhkan pada 1974 serta kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Jepun yang mula mengenalpasti Asia Tenggara sebagai lokasi pengeluaran yang lebih murah selepas Perjanjian Plaza 1985. Pembinaan kilang-kilang elektronik di negara ini telah membantu untuk membuka bandar-bandar baru serta memesatkan lagi proses perbandaran di negara ini. Hasilnya, pada tahun 2014, lebih 73% penduduk Malaysia tinggal di bandar. Malah negeri Pulau Pinang dan Selangor mencatatkan kadar urbanisasi melebihi 90%.

Ketiga, kadar celik huruf di negara ini telah mencapai 95% berbanding pada tahun 1970 yang kurang daripada 70%. Statistik ini bererti secara umumnya semua orang boleh membaca sendiri untuk mendapatkan maklumat. Pada masa yang sama, hanya ada satu universiti di zaman pra-DEB, iaitu Universiti Malaya. Kini, terdapat 20 buah universiti awam dan ratusan universiti serta kolej swasta. Di sebalik segala kritikan terhadap mutu pendidikan Malaysia, secara umumnya dapat dilihat sikap mahasiswa yang semakin kritis.

Keempat, kemajuan dalam bidang teknologi maklumat serta kebebasan internet yang membolehkan masyarakat dengan pantas memeriksa sebarang berita. Meskipun kelajuan internet di Malaysia berada di tangga ke-120 di dunia (antara tercorot), tetapi berbanding tahun 1960an-1970an, perkataan internet langsung tidak ada dalam kamus masyarakat Malaysia. Kini peranti berinternet adalah antara hadiah harijadi anak kecil yang belum pun bersekolah. Kebebasan internet ini bukan kerana keikhlasan kerajaan yang mahu menjadikan rakyat Malaysia bermaklumat tetapi kerana perjanjian semasa penubuhan Multimedia Super Corridor (MSC) pada tahun 1996 bagi menjadikan Malaysia hub teknologi maklumat. Roketkini adalah kesan sampingan daripada MSC ini, bukan kerana kemurahan hati kerajaan.

Kelima, fakta berkenaan demografi rakyat Malaysia yang secara kasarnya lebih 70% terdiri daripada mereka yang berumur kurang 40 tahun. Lebih separuh daripada jumlah ini terdiri daripada belia mengikut takrif Kementerian (15 hingga 40 tahun). Statistik ini bererti, lebih 70% rakyat Malaysia tidak ada hubungan secara langsung dengan 13 Mei 1969 yang berlaku sebelum mereka dilahirkan.

Oleh sebab itu, demikian kuat sekali pun propaganda BN-Barisan Nasional melalui media serta kursus-kursus Biro Tata Negara (BTN), umumnya sukar untuk anak muda sekarang ambil peduli dengan 13 Mei. Maka tidak hairanlah filem Tanda Putera, yang kononnya tentang sejarah kontroversi 13 Mei, gagal di pawagam (tempat berkumpulnya anak muda).

Adakah lima dalil ini hanya berasaskan imaginasi liar dan teori konspirasi semata-mata? Maaf, ini bukan artikel S.H Alatas. Lima dalil ini merupakan jawapan dan sekaligus bukti mengapa meskipun UMNO-Barisan Nasional membelanjakan wang dan menggunakan segala jentera kerajaan sehingga menjadikan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu paling mahal dalam sejarah Malaysia.
PRU13 merupakan pilihanraya terburuk pernah dialami oleh UMNO-BN – lebih buruk berbanding 2004 ketika zaman Pak Lah dan malah, yang lebih penting, lebih buruk berbanding PRU 1969.

Apakah selepas mengetahui keputusan PRU13 rakyat Malaysia cemas dan cepat-cepat membeli sardin di pasaraya untuk buat stok makanan kerana khuatir adanya perintah berkurung? Tidak, sebaliknya rakyat Malaysia merayakan kemenangan Pakatan Rakyat.

Meskipun tidak lama selepas PRU13, tiba-tiba meningkat segala ancaman perkauman – daripada daging babi, darah ayam, hingga kepada kepala lembu – rakyat Malaysia tidak rasa tergugat, malah semakin mual dengan UMNO-BN, kerana hakikatnya yang menimbulkan rasa sengketa antara kaum ini hanya UMNO-BN, bukan rakyat Malaysia. Malah, semakin kuat api perkauman dinyalakan Umno-BN, semakin ramai pula anak muda Melayu menyertai DAP – parti yang merupakan sasaran UMNO-BN untuk menakut-nakutkan Melayu.

Justeru, kepada TPM serta lain-lain pemimpin UMNO-BN, cukup-cukuplah mengapi-apikan perkauman. Jika tidak mampu untuk memimpin negara ini, sila bersara, kerana rakyat Malaysia ingin melihat negara ini maju dan kembali terhormat. – Roketkini.com

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722