SHAH ALAM – Pas menegaskan parti itu bukannya sebuah gerakan militan yang menggunakan pendekatan keganasan dan kekerasan dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.
AJK Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, parti itu mengguna pakai pendekatan “muwajahah silmiyyah” iaitu suatu bentuk pendekatan secara berdepan melalui penglibatan Pas dalam arena politik Malaysia.
“Itu pendirian yang telah ditetapkan Pas sejak tertubuhnya parti Islam ini pada 1951. Meskipun begitu dahsyat tekanan yang dikenakan terhadap Pas sejak sekian lama, ia tidak pernah mengubah keputusan dan kedudukan Pas dalam menyampaikan mesej-mesej Islam melalui jalan politik.
“Saya yakin masyarakat mula sedar dan menerima kehadiran Pas di medan siasah seterusnya menerima dakwah Islamiyyah yang diperjuangkan parti itu sejak kemerdekaan negara,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Temerloh itu mendakwa penglibatan bekas ahlinya, Lotfi Ariffin dengan kumpulan mujahidin di negara Timur Tengah itu merupakan keputusan dan ijtihad dia sendiri serta bukannya parti.
“Tindakan Lotfi tidak mewakili keputusan rasmi Pas. Oleh itu, tindakan sesetengah pihak menggembar-gemburkan isu mengangkat senjata di Malaysia adalah tidak tepat apatah lagi dikaitkan pula dengan Pas,” katanya.
Sebaliknya Nasrudin menegaskan pengganas sebenar yang mengancam negara Islam di Timur Tengah itu adalah Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu sendiri yang mengatur dan membiayai aktiviti tersebut.
Dakwanya lagi, pengaruh media Barat berjaya memainkan watak penting dalam mengalih perhatian umat Islam sehingga pejuang Islam yang mengangkat senjata menentang rejim Basyar pula digelar sebagai pemberontak.
“Istilah-istilah ‘pro-terrorist’ yang dilabelkan kepada kumpulan pejuang Islam yang mengangkat senjata ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam terutamanya di negara ini.
“Walaupun sejarah panjang AS dan Israel telah pun membuktikan mereka perancang utama kepada keganasan di sana, namun, mereka tidak pernah dipandang sebagai pengganas,” katanya lagi.