Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

ISIL: Umat Islam jangan keliru dengan gelaran Khalifah Abu Bakr al-Baghdadi [TONTON VIDEO]

$
0
0
Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic




SHAH ALAM: Umat Islam diminta jangan terkeliru dengan pengumuman kumpulan militan Pergerakan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) yang melantik Abu Bakr al-Baghdadi sebagai 'Amirul Mukminin' dan Khalifah untuk semua muslim di dunia.

Pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Dr Fadzlan Othman berkata, gelaran khalifah yang 'dianugerahkan' kumpulan tersebut kepada ketua mereka, tidak wajar diiktiraf oleh umat Islam

Ini kerana Abu Bakr terlibat dengan kumpulan yang cenderung melakukan pemberontakan dan keganasan sesama Islam.

"Gerakan itu sendiri gerakan yang ada masalah, kalau mereka lantik ketua mereka, itu ketua mereka lah..Pada kita pula, mereka ini sebuah kumpulan yang kita sifatkan sebagai menimbulkan huru-hara.

"Mereka sebut ketua itu sebagai khalifah, tapi kita tak sebut begitu," katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Abu Bakr sebagai kalifah seluruh umat Islam, seperti yang diisytiharkan pergerakan terbabit beberapa hari lalu.

Menurut jurucakap ISIL, Abu Mohammad al-Adnani, kenyataan kumpulan tersebut antara lain berkata majlis Syura kumpulan itu bersetuju menukar nama ISIL kepada Negara Islam sahaja dengan menggugurkan Iraq dan Levant.

Mengulas lanjut, Fadzlan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al Quran dan Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pandangan beberapa tokoh ulama di Timur Tengah turut merumuskan bahawa gerakan tersebut sangat 'disangsikan', kerana ia lebih bersifat pemberontakan atau militan.

"Gerakan ini satu gerakan yang bukan berpaksikan Islam sebenar, lebih kepada nak menguasai dan menyerang nujahidin yang ada..sedangkan musuh seperti Israel, tak ada pula ancaman yang dikeluarkan

"Orang Islam diperangi.. itu antara ciri-ciri khawarij (pemberontakan). Mereka memerangi orang Islam dan meninggalkan orang kafir," katanya.

Tambah Fadzlan, sistem khalifah sememangnya telah runtuh dan tidak mustahil dibangunkan kembali, tetapi ia bukan daripada pergerakan bercorak militan berkenaan.

"Gerakan ini kita tak patut sokonglah... Dan kita doakan supaya mujahidin sebenar dibantu oleh Allah," ujarnya lagi.

Beliau dalam pada itu mencadangkan agar ulama di seluruh dunia berbincang berhubung status pergerakan ini agar umat Islam dapat mengetahui maklumat yang sebenar, selain dapat mengelakkan kekeliruan.


"Kita sekarang ini dah ada perhimpunan ulama yang menghimpunkan ulama secara keseluruhannya untuk mengeluarkan fatwa, saya rasa perkara ini perlu dibincangkan oleh mereka untuk kita mendapat maklumat yang sebenar," kata Fadzlan.
   
LIHAT VIDEO DI SINI

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722