Abu Bakar bersama ahli Perkasa membuat bantahan terhadap kenyataan yang menghina Nabi menerusi Facebook di IPD Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam bagi menyatakan bantahan terhadap seorang lelaki yang menghina agama Islam di dalam laman sosial, Facebook.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya, laman sosial dipercayai milik David Orok itu menghina Nabi Muhammad SAW.
“Ini adalah satu kenyataan yang sangat biadap,” katanya ketika ditemui media di IPD Shah Alam, semalam.
Beliau mempersoalkan tindakan demikian yang didapati sengaja mencabar rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Kata Abu Bakar, kenyataan yang dikeluarkan itu boleh menjejaskan keharmonian yang sudah dikecapi di negara ini.
“Saya minta sesiapa yang tidak cukup ilmu dalam agama Islam supaya tidak memberikan pendapat atau kenyataan. Ia boleh membangkitkan kemarahan umat Islam,” katanya.
Menjawab pertanyaan wartawan yang mengatakan David sudah memohon maaf secara terbuka di Facebook, Abu Bakar berkata, tindakan tegas perlu dikenakan walaupun sudah meminta maaf.
Abu Bakar berkata, sudah ramai individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam sebelum ini dan tindakan segera perlu diambil.