A Kadir Jasin
MUTAKHIR– Khidmat pesanan ringkas (SMS) The Star memetik Wisma Putera sebagai berkata Muhammad Rizalman Ismail akan dihantar balik ke New Zealand bagi menghadapi tuduhan pecah rumah dan menyerang dengan tujuan merogol.
POSTING ASAL
Semakin ramai warganegara Malaysia membuat kerja-kerja kotor di luar negara sehingga membusukkan nama negara.
Ada yang ditangkap kerana menyeludup dadah dan hidupan liar. Ada yang ditangkap kerana menipu kontrak. Ada yang menjadi anggota sindiket judi dan pelacuran. Ada yang dipenjarakan kerana mendera anak.
Bernama melaporkan yang dalam enam bulan pertama tahun 2012, seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan. Dewan Negara diberitahu antara kesalahan yang dilakukan ialah menyeludup dadah, membunuh, memalsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu serta memalsukan dokumen, dan penyeludupan manusia.
Yang terbaru seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenali sebagai Pegawai Waran 2 Muhammad Rizalman Ismail yang bertugas di Suruhanjaya Malaysia di New Zealand dituduh pecah rumah dan mencabul kehormatan.
Masya-Allah! Kalau betul dakwaan kerajaan New Zealand itu, malu besarlah kita. Melayu dan Islam pula tu!
Kerbau bawa lumpur 1Malaysia terpalit |
Kita mempunyai perhubungan yang sangat baik dengan negara itu. Ia telah memberi bermacam-macam bantuan kepada negara kita sejak tahun 1949 lagi, termasuk memerangi komunis.
Kalau orang Islam dan orang Melayu tidak mahu terpalit dengan lumpur akibat peristiwa ini, mereka wajib mengutuknya. Sungguh malang. Nama ambil sempena nama Nabi tetapi perangai, masya-Allah.
Kalau Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan tidak bertindak tegas, mereka juga wajib dikutuk. Saya cabarMenteri Luar dan Menteri Pertahanan agar bertindak tegas demi membersihkan nama negara.
Saya kenal siapa kedua-dua menteri itu. Jadi tidak perlulah saya sebut nama mereka di sini. Yang dari Sabah itu saya kenal zaman mudanya sebagai ahli perniagaan. Yang dari Johor saya kenal sejak dia menteri belia lagi. Bapanya pun saya kenal.
Mengenai ATM, saya tidak mahu ulas panjang. Kita semua sudah tahu prestasi ATM, khususnya TUDM dalam peristiwa kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu.
Sebagai haiwan purba yang tidak pupus, saya nostalgia mengenai masa lampau ATM yang cemerlang melawan komunis dan mengharumkan nama Malaysia di Congo dan merata pelosok dunia.
Jadi bapak-bapak menteri dan bapak-bapak jeneral tolonglah tunjuk kesungguhan dan profesionalisme. Janganlah lembik, lembut dan apologetik tidak kena tempat.
Khusus buat para YB menteri, sila buktikan yang anda ada tulang belakang.
Jangan biarkan 1Malaysia terpalit kotor akibat beberapa ekor kerbau yang bawa lumpur.
Wallahuaklam.