Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Ku Nan: Niat saya untuk perbetul keadaan...

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau tidak niat menafikan usaha murni pelbagai pihak membantu menyediakan makanan percuma kepada orang gelandangan dan fakir miskin di ibu negara.

Sekalipun menerima rungutan dan dilempar dengan kata-kata kesat pelbagai pihak, Tengku Adnan menegaskan niat beliau hanya mahu memastikan ibu negara bersih dan sedia menjelaskan tujuan arahannya sebelum ini.

"Niat saya adalah untuk perbetulkan keadaan tapi jika ada yang membuat tanggapan atau persepsi berbeza maka saya bersedia untuk memperjelas dan beri penerangan tentang tujuan saya yang sebenar.

"Saya harap masyarakat dan orang ramai faham masalah yang sedang dihadapi. Niat saya nak jadikan ibu kota bersih. Untuk itu, saya sedia mendengar dan buat pindaan terhadap apa-apa yang perlu," kata Tengku Adnan dalam laman sosial Facebooknya.

Sebelum ini Tengku Adnan berkata kerajaan tetap berkeras membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di Kuala Lumpur dengan melaksanakan prosedur operasi standard mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah di tepi jalan.

Beliau turut mengumumkan bahawa sukarelawan NGO yang memberi makanan percuma kepada kumpulan itu, tidak boleh beroperasi dari jarak dua kilometer dari Lot 10, Bukit Bintang.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, ahli parlimen Padang Serai N Surendran menyindir kepada menteri wilayah itu supaya membuka pintu rumah mewahnya di Jalan Duta, di pinggiran bandar mewah Kuala Lumpur kepada warga gelandangan.

Surendran yang juga naib presiden PKR berkata sempena semangat di bulan Ramadan, setiausaha agung Umno itu juga sepatutnya menyediakan makan percuma di kawasan lapang di rumahnya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722