Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar (gambar) menyifatkan Lim Kit Siang sebagai 'keldai tua' yang tidak memahami undang-undang walaupun sudah menjadi ahli Parlimen sekian lama.
"Kenyataannya jelas menunjukkan dia adalah keldai tua yang tidak memahami perlembagaan," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
"Untuk seseorang yang sudah berada di Parlimen sejak sekian lama, dia masih tidak dapat membezakan kuasa kerajaan pusat dan negeri," kata Noh yang merujuk kepada kenyataan Lim yang menyifatkan Umno sebagai parti yang sedang musnah ekoran kenyataan Noh menyokong serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).
Noh, Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, enakmen Agama Bukan Islam Di Selangor (Kawalan penyebaran di kalangan Muslim) Enakmen 1988 jelas menyebut kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
"Di negeri seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak mereka tidak mempunyai undang-undang sebegini. Jadi bukan Islam boleh menggunakannya.
"Tetapi tidak di Selangor, dimana undang-undang sangat jelas. Ia tentang menghormati undang-undang," kata Noh.
Dia mengaku undang-undang ini dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu, tetapi Selangor telah mengeluarkan fatwa tentang penggunaan kalimah Allah pada 2010.
"Sultan Selangor juga telah mengeluarkan perintah perkataan itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di Selangor untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam," katanya.
Menteri Besar sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, kerajaan negeri Selangor akan menghormati perintah Sultan itu, kata Noh.
"Jadi mengapa Lim tidak berkata sedemikian? Adakah dia buta, bisu atau bodoh ketika itu?
"Mengapa DAP hanya diam ketika Tan Sri Khalid mengeluarkan kenyataan itu," katanya sambil menambah ini menunjukkan Lim cuba mendapatkan manfaat politik dengan mempolitikkan isu ini sekarang.
Lim telah mengkritik Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Noh kerana menyokong serbuan Jais ke atas PBM pada 2 Januari di mana lebih 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban dirampas.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kedua-dua mereka telah lupa tentang penyelesaian 10-perkara Putrajaya dengan orang Kristian sebelum ini.