"Adalah amat mengecewakan apabila Kementerian Pendidikan menyerang Dr Redzuan dan hasil kajian akademik tinjauan dan persepsi pilihan raya oleh beliau yang didakwa memburukkan imej Barisan Nasional," ujar Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tindakan campur tangan oleh Kementerian Pendidikan tersebut boleh disifatkan sebagai percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan sebuah lagi pencabulan ke atas kebebasan akademik.
Katanya, kebebasan bersuara dan kebebasan akademik adalah asas kepada pembentukan prinsip akademik.
"Seseorang pensyarah atau pengajar seharusnya mempunyai ruang yang bebas untuk mengajar dan membincangkan idea dan fakta (termasuklah yang tidak menyebelahi pemerintah), manakala cendekiawan seharusnya mempunyai hak untuk berfikir, berbicara, dan melontarkan persoalan," ujarnya.
Hak yang dinyatakan ini, tambah kenyataan itu seharusnya boleh diamalkan tanpa sebarang ancaman mahupun tekanan kehilangan kerja, penarikan dana, hukuman, atau sebagainya.
Tambahnya, tindakan kementerian tersebut turut membenamkan lagi perdebatan dan wacana sihat berkaitan dengan plihan raya bersih dan adil.
Menurutnya lagi, segenap masyarakat dalam negara ini telah mendapat manfaat hasil daripada sumbangan kajian akademik seperti yang dikeluarkan oleh Dr Redzuan dan badan-badan lain seumpamanya.
Bersih 2.0 turut merakamkan ucapan tahniah kepada tindakan berprinsip Datuk Saifuddin Abdullah yang meletakkan jawatan beliau sebagai Felo Penyelidik di universiti yang sama dan keberanian Kesatuan UM dan kakitangan akademiknya (PKAUM) yang bersuara menentang tindakan kementerian.
Katanya lagi, keberanian dan prinsip yang ditonjolkan ini menjadi contoh yang sangat membanggakan.
"Bersih 2.0 dengan ini menggesa agar Prof Dr Redzuan Othman dilantik semula ke jawatan beliau dengan segera.
"Kami turut menggesa agar Kementerian Pendidikan tidak lagi campur tangan dan membenarkan Universiti Malaya menguruskan sendiri hal-ehwal yang berkaitan pusat kajian mereka termasuklah pelantikan dan penjawatan staf akademik," ujarnya.