SALAH satu rang undang-undang (RUU) yang datang sekali dengan Akta Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi (AKNR) ialah RUU Jenayah Kebencian Agama dan Kaum. Ia adalah satu draf yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).
Berlatarbelakangkan perlunya negara Malaysia melangkah lebih ke hadapan dalam memahami logik ketegangan agama dan kaum yang tidak kelihatan sembuh, kami merasakan satu perundangan yang terkini menjadi keperluan.
Hingga kini hanya Akta Hasutan 1948 menjadi petunjuk perundangan kepada letusan kebencian kaum manakala Akta Jenayah secara tidak langsung merujuk kepada memelihara keselamatan awam untuk menggarap ketegangan agama, itupun dipertikaikan kerana seolah berlaku pertindihan kuasa persekutuan dan negeri.
Menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai satu jenayah khusus secara bersendiri mengundang pelbagai persoalan.
Artikel ini adalah sambungan kepada tulisan saya sebelum ini dengan meletakkan RUU ini atas neraca syariat Islam untuk cuba menjawab apakah niat RUU ini menuruti kehendak Islam dan apakah peruntukannya berupaya membela apa yang Islam perjuangkan selama ini.
Fokus perbahasan ialah tentang sifat manusiawi (insaniah) Islam dan bagaimana RUU ini adalah untuk memelihara hal yang demikian.
Islam Memelihara Manusiawi
Islam adalah agama yang bukan sahaja mempromosikan keharmonian dalam masyarakat tetapi lebih daripada itu, Islam meletakkan tanggungjawab mewujudkan kedamaian sebagai kewajiban syariat.
Islam melihat permasalahan ini dari akar umbi masalah dan cuba menggarapnya dari asas maksud kemanusiaan itu sendiri.
Dengan kata lain apa sahaja maksud bagi mencapai tertegaknya kehidupan bermanusiawi, Islam akan mendokongnya dan mempertahankannya.
Syariat Islam mestilah tertegak atas pemeliharaan nilai manusiawi jikalau tidak ia tidak boleh diasosiasikan dengan nama syariat.
Sebaliknya juga adalah betul, jika sesuatu itu ditegakkan atas mempertahankan manusiawi walaupun tidak atas nama Islam, ia harus disokong.
Sesiapa yang benar-benar memahami maksud syariat Islam, mereka akan mendapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pejuang kemanusiaan dalam segala maksudnya.
Ayat 107 Al-Anbiya menjelaskan tujuan kedatangan Muhammad adalah untuk memastikan KERAHMATAN tercapai:
“Tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad, melainkan hanya untuk membawa RAHMAT ke seluruh alam ini.”
Apa erti kerahamatan jika manusiawi tidak dimartabatkan?
Apa erti alam jikalau manusia sebagai penghuni utamanya tidak diperjuangkan maruahnya?
Demikianlah mudah bagi seseorang memahami risalah kemanusiaan yang dibawa oleh Islam.
Manusia dan Maruah
Manusia dan maruah tidak dapat dipisahkan, menjadi manusia wajib memiliki maruah, seoalah-olah tiada maruah bukan manusia namanya.
Syariat Islam menitikberatkan persoalan maruah dan melindunginya dengan ketetapan yang dibuat oleh Pencipta dan bukan manusia.
Manusia hanya perlu memeliharanya dan mengelak daripada maruah ini dari dikesampingkan dalam hidupnya.
Deklarasi kemanusiaan dalam Islam didapati dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan keturunan anak-anak Adam (manusia) dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami melebihkan mereka (manusia) dari segala ciptaan Kami yang lain dengan beberapa kelebihan: (Al Isra’:70)
Allah SWT memuliakan manusia supaya manusia tidak menghina sesama mereka dan sebab itu apabila maruah manusia dirobek ia seolah-olah merobek kewujudan manusia itu sendiri.
Oleh kerana itu setiap undang-undang yang menjaminkan maruah manusia terpelihara perlu disokong oleh mana-mana muslim bagi menunjukkan komitmennya kepada Deklarasi Ilahi di atas.
Maruah dan Kehormatan Manusia
Asas maruah manusia terletak kepada keturunannya, kaumnya dan agamanya dan kadang-kadang semua ini dirangkulkan dalam erti ‘kehormatan insan’.
Salah satu yang boleh meledakkan bom jangka hubungan sesama manusia ialah ungkapan dan cakapannya yang berbaur kebencian dan penghinaan sesama manusia.
Amat mudah mengenali nada bahasa yang mengajak kepada kebencian dan permusuhan, di bawah ini terdapat tiga aspek yang boleh meletuskan kebencian agama dan kaum di mana Islam menutup ruang secara prefentif dari terbukanya segala neraka kebencian.
1. Keturunan
Salah satu maruah yang memberikan kemuliaan pada manusia adalah keturunannya atau nasabnya.
Keturunan memberikan seseorang rasa kemilikan dan kepunyaan pada kelompok yang lebih besar di mana ia merupakan tempat seseorang itu mendapat perlindungan daripada dihina oleh manusia lain.
Kisah Abu Dzar Al Ghifari pernah melafazkan sesuatu yang menghina keturunan sahabatnya Bilal Ibnu Al Rabah dengan katanya “Wahai anak keturunan kulit hitam!”
Sejurus diadukan kepada Nabi, Baginda bersabda dengan nada yang keras kepada Abu Dzar:
“Adakah engkau telah menghina ibunya (yang berketurunan kulit hitam), engkau adalah seseorang yang dalam dirinya masih ada unsur Jahiliyah.” (Riwayat Bukhari)
Mencaci keturunan adalah amalan Jahiliyah kerana orang Jahiliyah berasa keturunannya lebih baik dari keturunan orang lain.
Perbuatan keji ini hanya akan menyebarkan kebencian sesama manusia dan dalam proses itu seseorang dengan mudah menyerang keturunan orang lain daripada lisannya.
Perbuatan keji ini dianggap merobek kehormatan diri seseorang melalui keturunannya dan lantaran itu Nabi menghalangnya dari awal lagi sehingga ia menjadi akhlak seorang muslim untuk tidak menghina keturunan seseorang dengan kata-katanya.
2. Kaum
Kaum diikat dengan talian yang lebih meluas sehingga mampu membina sebuah masyarakat yang besar dan membentuk kepimpinan lewat perkauman itu.
Islam tidak melihat kaum atau ras sebagai satu masalah, namun yang ditentang oleh Islam ialah sikap perkauman yang berpotensi memporak-perandakan keharmonian sesebuah masyarakat.
Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan di celah himpitan perkauman yang dasyat dan perjuangan perkauman pada asasnya mesti dituruti ciri penghinaan terhadap bangsa lain, itulah ‘asabiyah kaumiyah’ namanya.
Nabi melarang kerana menghina bangsa lain adalah amalan orang yang takabur, sabda Baginda:
“Kesombongan adalah sekatan pada mengenali kebenaran dan menghina manusia” (Riwayat Muslim)
Surah Al Hujurat ayat 11 dan 12 jelas melarang menghina kaum lain. Firman-Nya:
“Wahai orang yang beriman, jangan menghina mana-mana kaum, sesungguhnya yang dihina itu mungkin lebih baik dari yang menghina, janganlah engkau menghina juga mana-mana wanita, yang dihina mungkin lebih baik dari yang menghina, jangan kamu menggelar sesama kamu, amat buruk nama yang kamu namakan setelah kamu mendapat kemuliaan beriman.”
Sememangnya tidak ada alasan apabila sesuatu undang-undang yang bercita-bercita untuk menjaga nama baik dan maruah manusia ditolak.
3. Agama
Agama atas apa pun kepercayaannya adalah satu maruah bagi manusia, cara masing-masing mereka memahami dan mengamalkannya bukanlah alasan untuk kita mengutuk dan memaki-hamun antara satu sama lain atas alasan kepercayaan.
Islam menitikberat perlunya manusia hidup dalam kepelbagaian.
Berbeza daripada fahaman sesetengah pihak yang menganggap agamanya sahaja yang perlu wujud lalu memberi alasan untuk menghina agama lain, Islam mengutuk gaya hidup masyarakat yang sedemikian.
Wujudnya kepelbagaian berdalilkan kepada firman Allah SWT:
“Dan jika Tuhanmu (wahai Muhammad) mengkehendaki, nescaya Dia jadikan kamu berada atas satu agama, tetapi mereka tetap berterusan berbeza (dalam kepercayaan masing-masing). Demikianlah Kami jadikan mereka (yang mendapat petunjuk dan tidak), telah ditetapkan bahawa Kami akan memenuhi neraka dari kalangan jin dan manusia kesemuanya)” (Al Hud: 118-119)
Kerana Islam mahu memelihara kerukunan hidup umat pelbagai agama, syariat Islam telah meletakkan prinsip besar yang menentukan hubungan ini iaitu “Tiada Paksaan Dalam Beragama.”
Prinsip ini konsisten dalam mengiktirafi kepelbagaian, baik semasa period Mekah mahupun period Madinah, tiada kompromi dalam hal ini kerana Islam mahu menjaga prinsip yang lebih besar untuk keberlangsungan hidup manusia yang pelbagai agama sebagai salah satu tanda kebesaran Allah SWT.
Atas alasan yang sama, Islam menutup sama sekali ruang untuk mengutuk dan mengeji agama lain kerana ini akan membawa maruah manusia tercalar atas apa yang diyakininya, walaupun Islam tidak melarang untuk berdialog antara agama dengan cara yang sihat.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu mengutuk (memaki) apa yang disembah oleh mereka yang lain daripada Allah (tuhan-tuhan mereka), nanti (sebagai tindak balas) mereka akan mengutuk (memaki) Allah dengan permusuhan dan kejahilan, Demikianlah kami perintahkan pada setiap pengikut (agama) masing-masing apa yang mereka percayai dari amalan mereka itu, kepada Allah lah mereka akan kembali lalu akan diberitahu kelak (di akhirat) apa yang telah mereka kerjakan.” (Al An’am:108)
Manusia Perlukan Bimbingan
Selain daripada kesedaran kepada memelihara manusia dan maruahnya, seorang Muslim harus menyokong apa sahaja usaha supaya perkara ini mendapat pembelaan daripada terus menjadi mangsa orang yang membudayakan cara hidup benci membenci antara kaum dan agama.
Kebencian atas alasan ini berpotensi mencetuskan huru-hara malah boleh membawa berbunuhan sesama manusia.
Tiba masanya syariat Islam diketengahkan dengan membentuk satu undang-undang takzir yang menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai satu jenayah yang layak mendapat hukuman kepada pesalahnya.
Segalanya bermula dengan ucapan dan tindakan yang mesti dikawal supaya tidak menjurus ke arah menimbulkan kebencian antara kita, kerana jika kita gagal menyatakan sikap yang tegas hilanglah nanti suasana harmonis dan maruah manusia akan tercalar.
Ketika itu huru-hara akan menguasai masyarakat kita.
RUU Jenayah Kebencian Agama dan Kaum (JKAK)
Sebagai langkah awal menyatakan komitmen kita kepada memelihara kehidupan bermaruah, adalah sukar untuk seorang Muslim menolak RUU JKAK ini.
Tabiatnya adalah Islamik dan selagimana ia menuruti kehendak syariat, maka ini adalah usaha yang murni memartabatkan makna Islam dalam memastikan hubungan antara kaum dan agama terpelihara dalam negara tercinta ini.
Mari sama-sama kita menyokongnya.
Mujahid Yusof Rawa adalah pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).