KELAB GREENBOC
Gerakan kecam kenyataan ‘mulut celupar’ Zahid
Pemimpin Gerakan yang marah memberikan ingatan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa peranannya adalah untuk menjaga keselamatan rakyat negara ini, bukan mempemainkan mereka yang terancam nyawanya.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow (gambar) berkata, menteri dalam negeri itu harus ingat bahawa kepala lembu yang ditinggalkan di depan rumah R.S.N. Rayer itu bukan perkara main-main.
"Menteri dalam negeri harus ingat bahawa peranannya adalah untuk menjaga keselamatan bukan untuk membuat kenyataan yang bukan-bukan terhadap kejadian yang mengancam nyawa dan keselamatan wakil rakyat," katanya dalam sidang media di pejabat Gerakan negeri.
Teng mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan kejadian itu berlaku kerana "mulut celupar" wakil rakyat DAP itu merujuk kepada kenyataan "Umno celaka" yang dibuatnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.
"Sebagai ahli politik, saya simpati dengan beliau tetapi itulah harga yang perlu beliau bayar kerana mulut celupar," kata Zahid selepas majlis penutup pengiktirafan pengawal keselamatan di Kuala Kubu Baru, hari ini.
Rayer, yang diserang ahli Umno ekoran kenyataan "Umno celaka" dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang lalu, berkata kepala lembu itu ditemui isterinya di depan pagar rumah mereka pagi ini.
"Dia melihatnya kira-kira jam 6.45 pagi. Ia penuh dengan darah dan telah disiat kulitnya," kata Adun dua penggal itu kepada The Malaysian Insider.
Teng juga mengutuk pihak yang meletak kepala lembu di depan rumah Rayer itu.
"Jika ada yang anda ingin katakan kepada Rayer, jumpalah dia secara berdepan. Jangan buat perkara sebegini yang tidak boleh diterima sama sekali dalam negara pelbagai kaum ini," katanya.
Beliau juga meminta polis membuat siasatan dengan cepat kejadian yang sudah dua kali berulang itu.
Pada tahun 2010 lalu, sekumpulan ahli Umno dan NGO membawa kepala lembu ke depan pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor ketika kecoh isu pembinaan kuil Hindu di negeri itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang P Murugiah terkejut dengan apa yang berlaku.
"Jangan buat apa yang anda tidak suka orang lain buat kepada anda," katanya. –TMI
Kepala lembu: Harga perlu dibayar Rayer kerana celupar, kata Zahid
Kejadian yang menimpa Adun Seri Delima, R.S.N. Rayer pagi ini adalah akibat dari "mulut celupar" beliau, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Sebagai ahli politik, saya simpati dengan beliau tetapi itulah harga yang perlu beliau bayar kerana mulut celupar," kata Zahid selepas majlis penutup pengiktirafan pengawal keselamatan di Kuala Kubu Baru, hari ini.
Zahid mengulas penemuan kepala lembu yang masih berdarah dan tanpa kulit di depan pintu pagar rumah Rayer pagi ini.
Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang mengenai isu itu. Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang membuat siasatan ke atas kes itu.
"Kami sedang siasat," katanya tanpa mengulas panjang.
Rayer, yang diserang ahli Umno ekoran kenyataan "Umno celaka" dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang lalu, berkata kepala lembu itu ditemui isterinya di depan pagar rumah mereka pagi ini.
"Dia melihatnya kira-kira jam 6.45 pagi. Ia penuh dengan darah dan telah disiat kulit," kata Adun dua penggal itu kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, Rayer enggan mengaitkan kejadian tersebut dengan kenyataannya di DUN Pulau Pinang bulan lalu.
"Saya tidak mahu kata ia ada kaitan dengan itu... tetapi ini kejadian pertama saya hadapi sejak kejadian itu.
"Saya akan membuat laporan polis sekejap lagi dan biarkan mereka menyiasatnya," kata Rayer, yang merupakan seorang peguam.
Lembu dianggap suci oleh penganut Hindu. Rayer dan keluarganya adalah penganut Hindu.
~TMI
ULASAN GB
Kes kepala lembu diletakkan di depan rumah Rayer seolah-oleh mengesahkan kebenaran kata-kata Rayer bahawa UMNO itu celaka. Dan kenyataan menteri KDN Ahmad Zahid Hamidi kononnya "Rayer perlu membayar harga kerana bermulut celupar" seolah-olah mengesahkan pemimpin UMNO itu merestui tindakan meletakkan kepala lembu oleh orang yang tidak bertanggungjawab di depan rumah Rayer. Bukankah kenyataan Zahid Hamidi itu memberi impak "double celaka"?
Sebagai menteri kabinet yang bertangungjawab soal keselamatan dalam negara, beliau sepatutnya bersikap profesyenal dan tidak berpihak, tetapi malangnya beliau seperti orang yang sudah kehilangan akal dan tidak dapat menyembunyikan perasaan dendam kesumatnya terhadap Rayer.