Proses rampasan tanah itu sedang giat dilaksanakan.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan merampas tanah sekiranya pemiliknya melakukan pembakaran terbuka secara berleluasa.
“Proses rampasan tanah tersebut sedang giat dilaksanakan dan ianya kini dilakukan di daerah Klang dan Hulu Langat.
“Walaubagaimanapun, tidak semestinya sekali buat pembakaran dah kena rampas, ia haruslah mengikuti beberapa syarat yang kita tetapkan barulah dirampas,” katanya dalam satu sidang media di Shah Alam selepas mesyuarat Exco, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengumumkan seluruh Selangor, Melaka, dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka.
Ketua Pengarah JAS Datuk Halimah Hassan berkata larangan mengikut Seksyen 29AA (2) Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2001, itu berkuatkuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Bagaimanapun katanya, larangan berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar.
“Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.