GEORGETOWN - Isu logo halal yang tidak diiktiraf tidak akan berkesudahan berikutan beberapa faktor antaranya kurangnya pemantauan pihak berkuasa dan sikap pengguna itu sendiri.
Segelintir pengguna dilihat mengambil ringan dan tidak peka terhadap restoran mahupun barangan makanan yang dijual dengan menggunakan logo halal yang bukan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Sazali Hussein berkata, semua logo halal perlu dikeluarkan Jakim dan bukannya direka sendiri.
Bagaimanapun, Sazali berkata, ada juga logo halal yang akan dikeluarkan badan Islam di negara yang mengeluarkan makanan terbabit namun masih perlu diperakui Jakim.
“Hanya logo yang dikeluarkan Jakim dijamin halal sebaliknya rekaan sendiri (self declaration) tidak boleh digunapakai. Selain itu, ada beberapa senarai nama badan Islam di negara luar yang logo halalnya diperakui Jakim. Senarai itu boleh disemak di laman sesawang Jakim.
“JHEAIPP sentiasa membuat pemantauan bulanan bagi memastikan tiada pengusaha makanan dan restoran yang mengambil kesempatan dengan meletakkan logo halal yang direka sendiri bagi mengelirukan pengguna. Namun, pengguna juga perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Sazali berkata, pengguna perlu bijak meneliti logo halal yang sah dan bukannya hanya mengharapkan pihak berkuasa dalam memberi kesedaran kepada umum.
“Zaman kini zaman berteknologi. Pengguna perlu bijak. Mereka boleh mengunjungi laman sesawang Jakim untuk mengetahui senarai barangan makanan yang halal, restoran yang mendapat sijil halal Jakim dan badan Islam yang diperakui Jakim.
“Janganlah hanya mengharapjabatan agama sahaja untuk mendapat maklumat. Kita menjalankan tugas yang diamanahkan, dalam masa sama, pengguna juga perlu memainkan peranan mereka sebagai pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, sehingga kini pihaknya belum mendakwa mana-mana pengusaha makanan mahupun restoran yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf.
Menurutnya, pihaknya dan JHEAIPP kerap kali mengadakan operasi pemantauan bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna.
“Memang ada kes tapi kita hanya bagi teguran. Walau bagaimanapun, kita akan lakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan teguran yang dibuat diambil tindakan pengusaha terbabit.
“Operasi yang dibuat berterusan, tanpa menunggu aduan daripadaorang ramai. Tapi jika ada aduan, ia lebih baik. Oleh itu, kita minta orang ramai menyalurkan maklumat kepada kita supaya tindakan boleh diambil,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, ramai pengguna tidak tahu logo halal yang dikeluarkan Jakim sebaliknya menganggap semua logo halal yang dicetak pada pembungkus makanan diiktiraf Jakim.
Suri rumah, Salmah Taruddin Ismail, 58, berkata, dia tidak pernah meneliti logo halal yang dicetak pada pembungkus makanan malah lebih mengejutkan, dia tidak pernah tahu logo halal dikeluarkan Jakim.
“Ketika beli barang, makcik selalu periksa logo halal. Tetapi makcik tak tahu logo halal yang dikeluarkan Jakim. Pada makcik, selagi ada logo halal, maka ia halal lah. Ini kerana, semua logo halal ada tulisan Jawi.
“Pada makcik, selagi kita yakin, maka makanan itu tidak ada masalah. Sepatutnya pihak berkuasa perlu memberi lebih pendedahan tentang logo halal yang diiktiraf. Bukan semua orang boleh periksa laman sesawang Jakim,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah pasaraya di sini.
Pesara, Ahmad Hussin, 70, berkata, dia kini amat berhati-hati dalam memilih barangan makanan dan restoran berikutan semakin banyak pengusaha restoran yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf.
“Sejak isu logo halal ini hangat diperkatakan, saya semakin berhati-hati dalam memilih makanan dan restoran kerana ada pengusaha restoran serta pengeluar makanan yang mengambil kesempatan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf.
“Saya harap, pihak berkuasa khususnya Jakim perlu memberi lebih maklumat tentang isu ini. Ini bagi mengelakkan pengguna tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Tinjauan di beberapa pasaraya mendapati, ada beberapa produk makanan dikeluarkan negara jiran yang mempunyai logo halal bukan dikeluarkan Jakim sebaliknya dikeluarkan oleh badan bertanggungjawab hal ehwal halal haram negara berkenaan.
Jika badan itu mendapat perakuan Jakim, pengguna tidak perlu ragu lagi status halalnya. Senarai badan luar negara yang diperakui Jakim boleh disemak di laman web Jakim.