KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menarik balik terjemahan 'bughah' yang jauh tersasar dari maksud yang sebenar.
Katanya, menteri berkenaan telah memberi terjemahan yang salah sekali gus ianya boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Dalam jawapan bertulis menteri berkenaan kepada beliau, menjelaskan bahawa 'bughah' di dalam Mazhab Syafie didefinisikan sebagai "orang yang menyalahi pemerintah yang adil, yang keluar daripada ketaatan kepadanya dengan cara enggan daripada melaksanakan kewajiban atau lain-lain dengan syarat-syaratnya".
Bagaimanapun menurut Khairuddin terjemahan '...keluar daripada ketaatan...' adalah salah, sebaliknya yang betul adalah "yang memberontak' .
"Terjemahan yang salah ini sekaligus telah mengelirukan orang ramai akhirnya Mufti Pahang dan Perak mengeluarkan pandangan orang yang berdemo dianggap bughah, puncanya tersilap terjemahan,"tegasnya.
Sebelum itu, Khairuddin bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) meminta menteri berkenaan tarik balik jawapan tersebut bagaimanapun Speaker Tan Sri Pandikar Amin tidak boleh membuat keputusan segera sebaliknya akan diputuskan dalam sesi parlimen akan datang.
Ahli Parlimen Datuk Mahfuz Omar pula mencadangkan agar dewan menggantung terlebih dahulu jawapan menteri kerana dibimbangkan akan menjadi rujukan ramai selepas ini.
Bagaimanapun Khairuddin memberi jaminan akan membawa usul berkaitan perkara ini dalam sesi parlimen akan datang.
Dalam soalan asal pada 12 Jun lalu Khairuddin meminta Perdana Menteri menyatakan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pandangan Mufti Perak dan Pahang mengenai isu 'bughah'. -