PUCHONG: Tiada keperluan PKR untuk menjadi 'orang tengah' dalam mencari kata sepakat dan penyelesaian mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) baru-baru ini.
Pendirian itu dinyatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menegaskan pihak berkepentingan perlulah mengadakan dialog secara terbuka bagi mencari ruang 'pendamaian'.
"Semasa Saidina Ali hadapi masalah, dia hantar Ibnu Abbas kerana dia dianggap "man of integrity" dan dihormati oleh kedua-dua pihak, pandangannya yang tegas dan bebas, jadi dia dihantar sebelum buat keputusan.
"Kita tidak (berbincang), bukan soal orang tengah atau tidak, belum sampai ke situ lagi, tapi kena ada dialog," katanya kepada pemberita di Centre For Reform, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kesediaan PKR sebelum ini untuk menjadi orang tengah bagi mempertemukan semua pihak yang terlibat dalam konflik selepas serbuan Jais ke premis BSM dan merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban.
“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan.
Anwar berkata, insiden itu juga turut mendapat reaksi negatif dari pihak luar negara sekali gus memburukkan keadaan yang dianggap sebagai 'layanan prejudis' terhadap penganut Kristian di negara ini.
"Pihak luar sana beranggapan ia sebagai gangguan kepada penganut Kristian di Malaysia dan itu tidak elok.
"Saya pertahan, saya kata rakyat Malaysia umumnya kita tidak ada prejudis itu, tapi kita nampak persepsi itu kian parah," katanya yang dipetik dari laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menyatakan kesediaan PKR mengambil inisiatif mempertemukan semua pihak yang terlibat dalam kes rampasan Bible oleh Jais agar sama-sama berbincang menyelesaikan permasalahan itu.