Ahli Parlimen DAP-Kota Melaka, Sim Tong Him (kanan) menerima surat daripada NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin mendesak Lim Kit Siang mendedahkan bukti salah laku rasuah kerajaan BN di pintu masuk Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto SINAR HARIAN ONLINE/NIZAM ZAIN
KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan bukti salah laku rasuah membabitkan kerajaan BN.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao mendakwa, tindakan pemimpin veteran DAP itu yang menuduh kerajaan berasuah sejak 1969 namun sehingga kini beliau masih gagal menunjukkan bukti.
"Saya cabar Kit Siang datang ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bawa bukti dakwaanya bahawa kerajaan BN ini rasuah sejak 1969 lagi.
"Jika dia gagal menjawab cabaran ini, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis terhadap penipuannya," katanya kepada pemberita di pekarangan Bangunan Parlimen, hari ini.
Awal bulan ini, Ramesh mengemukakan laporan kepada SPRM beserta bukti rakaman percakapan Kit Siang menerusi YouTube menunjukkan pemimpin DAP itu menguar-uarkan salah laku rasuah kerajaan BN dalam setiap ceramah politiknya sejak 1969.
Dakwanya, pendedahan palsu Kit Siang itu hanya merosakkan pemikiran rakyat apabila hampir 40 peratus daripada generasi muda mempercayai dakwaan itu meskipun tidak disertakan dengan bukti kukuh.
Dalam pada itu, sikap berdiam diri Kit Siang itu menyebabkan kumpulan NGO itu terpaksa 'mengejar' veteran DAP ke Parlimen hari ini.
Bagaimanapun Kit Siang didapati enggan menemui NGO tersebut dan hanya menghantar wakilnya iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him untuk menerima surat mendesak beliau bekerjasama dengan SPRM dalam tempoh tujuh hari.