Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Piala Dunia 2014: Jangan sampai lupa sengsara umat

$
0
0

DR RIDUAN MOHAMAD NOR 


DEMAM dan kegilaan itu muncul kembali, membadai dan menghembus pawana paling ganas terhadap dunia, sehingga perompak dan polis boleh berdamai seketika. Begitulah ia muncul setiap empat tahun sekali menggema sorakan dan euforia kegirangan di seluruh belahan dunia. Bolasepak bukan lagi milik mutlak kaum adam, namun telah menjadi kegilaan kaum hawa juga termasuk kelompok transeksual di semua peringkat. Saat saya tiba di lapangan terbang Abu Dhabi pagi tadi, untuk meyambung pemusafiran ke Tanah suci, rupanya penumpang ke Rio De Jenero begitu ramai, dengan aksesori yang melambangkan mereka adalah pentaksub nombor wahid piala sukan paling berprestij dalam tempoh dua abad ini.

Media perdana di ruang apa pun, mengiklankan dengan penuh mengebu acara yang bukan sekadar untuk mengeluarkan peluh, tetapi persaingan gengsi, maruah diri, percaturan benua, tarikan pelancongan, bahkan industri judi sukan bola sepak. Kegilaan ini digebukan lagi dengan kehadiran media baru, ruang siber yang melakar tarikan pesona yang penuh pelangi kepada Piala Dunia.

Semenjak setahun yang lalu, penceritaan tentang bola sepak dan Brazil menjadi fokus lensa dan juga bilik berita, merebak juga kepada berita jenayah perdagangan dengan operasi pihak keselamatan menyerbu premis menjual jersi-jersi tiruan pasukan ternama dunia yang bakal beraksi. Ini semua menambahkan lagi perisa kepada kehebatan Piala Dunia yang sudah tersohor sehingga mendinginkan suhu politik dunia. Di negara-negara miskin seperti Brazil sendiri, bola sepak bukan sekadar permainan sukan yang mengangkat martabat negara, tetapi juga jarum bius untuk rakyat melupakan seketika kelaparan dan kemiskinan.

Bolasepak Piala Dunia adalah juga ruang kapitalis menumpuk kekayaan dengan pelbagai cara, penjualan cenderamata, pemasaran industri pelancongan yang agresif, juga akan berlaku pembidaan pemain-pemain usai perlawanan untuk kelab-kelab ternama pula. Pelbagai produk makanan, minuman, fesyen, alatan sukan, ubatan, cuba untuk mengafilisasikan jenama mereka dengan sukan paling berprestij ini. Parti-parti politik berlumba untuk memanfaatkan budaya popular ini kerana demam empat tahun sekali ini begitu dekat dengan hati massa.

Impaknya dalam negara kita bukan kepalang, ramai penjawat awam dan swasta mengambil cuti sakit, kedai yang menayangkan skrin besar bertukar menjad mini stadium, masjid surau yang sedia suram berpotensi makin lengang, ceramah politik hilang pesona, program yang tak diatur cermat dengan jadual perlawanan maka berpotensi gagal mencapai sasaran. Anak-anak kecil pula tiba-tiba begitu teruja disengat matahari kerana berdelusi sebagai pemain papan carta utama.

Apa pun buat peminat sukan ini, terutama umat Islam moga Piala Dunia yang bergengsi ini tidak melalaikan kita daripada ibadah. Dunia Islam masih lagi dilakar dengan tangisan duka ummah, darah yang berkubang di Syria yang telah mengorbankan lebih 200,000 nyawa, jutaan rakyat Syria yang bergelandangan di sempadan negara. Palestin belum berhenti menangis pilu, 66 tahun Nakbah yang menghilang mereka daripada peta dunia. Kerajaan campuran yang dibentuk antara Fatah dan Hamas belum lagi terbayang cahaya dihujung terowong, warga Palestin masih dijeruk kejerihan.

Bosnia Herzegovina yang dilanda banjir paling buruk dalam sejarahnya, juga dengan sejuta nyawa yang terkorban 20 tahun lampau, masih tersisa kesengsaraan. Myanmar sesiapa pun tak endah, dengan puluhan ribu muslim disembelih kejam, tanpa kewarganegaraan yang sah, sangat ironis dengan jeritan kegembiraan gol menerjah gawang. Berjejeran pula darah muslim Afrika Tengah minta didengari, kita memekakkan telinga, sambil mengunyah kacang, mencicip kopi panas, menyorak sorai perlawanan. Diam tak berkutik untuk derita ummah!

Teman semua, langit tak selalu cerah, gerah boleh menerjah kita di mana-mana pun, maka berpada-padalah dalam hidup ini. Ramadan yang berkah akan kunjung tiba, bulan maghfirah sejuta warna, bulan para pendosa berpeluang membasuh noda semalam. Jangan pula Ramadan karim tahun ini hilang erti kerana keobsesan kita pada sebuah piala. Jom terus  berdoa dan membantu ummah, hitungan dan unjuran kita pada Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol, England, wajar juga kita tak lupakan Gaza, Syria, Mesir, Myanmar, Afrika Tengah dan peta luka umat Islam yang lain.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722