Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

DNA babi, dua-dua betul

$
0
0

Oleh SUBKY LATIF


TERDAPAT perbezaan pendapat tentang DNA babi, halal atau tetap haram, antara ulama terbilang dunia Sheikh Yusuf Qardawi dan majoriti ulama Malaysia.
   
Segala-galanya berpunca daripada dua jenis coklat Cadbury yang dikatakan terpalit DNA babi. Lalu coklat itu ditarik dari pasaran bagi laluan Jakim menguji sahih atau tidaknya ia berzat babi. Agensi Jakim mengambil sampel dari kilang bagi menguji kaji dan mendapati tiada yang meragukan. Ia halal.

Berikut kejadian di Malaysia itu Mekah dan lain-lain komuniti Islam mengadakan uji kaji juga.
  
Al-Qardawi pun pengeluarkan pandangan bersandarkan ilmu Islam betapa sesuatu yang haram seperti babi itu apabila melalui transformasi lalu hilang keasliannya, maka tidak lagi sama kedudukan hukumnya.
  
Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti itu dipanggil istihalah. Ia tidak haram lagi.
  
Ramailah ahli agama kita menolak pandangan al-Qardawi itu. Dan ada juga cendekiawan yang maju seperti Dr. Maza, bekas Mufti Perlis menerima pandangan al-Qardawi itu.
  
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Shukur memberi pandangan tengah, mengakui sandaran al-Qardawi. Ada betul  dan kebenarannya.
  
Beliau berpandangan kaedah istihalah itu tidak dapat dipakai di Malaysia setidak-tidaknya buat masa ini kerana Malaysia masih banyak pilihan. Kita tidak darurat sehingga kita tiada pilihan lain.
  
Eropah dan Amerika boleh kaedah itu dipakai kerana bahan halal payah didapati, maka barang yang sudah melalui transformasi yang telah berubah keasliannya, gugur haramnya.
  
Tan Sri Shukur tidak menolak kaedah itu boleh diterima pakai di negeri-negeri seperti itu.
   
Tetapi keadaan di Malaysia berbeza. Bahan halal memenuhi pasaran dan kita banyak pilihan, maka kaedah itu tidak terpakai di sini. Pakailah apa yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa.
   
Perkembangan tentang babi ini telah menambah fahaman kita tentang hukum-hukum dalam Islam khususnya yang terpalit dengan babi.
  
Dr. Shukur telah memberi hujah yang kuat mengapa Malaysia tidak memerlukan kaedah istihalah. Dan dalam hal berita tentang pandangan Dr. Qardawi itu adalah umum. Ia tidak memuatkan hujah bila dan di mana kaedah itu boleh dipakai.
   
Apa pun dipercayai Dr. Qardawi boleh menerima penjelasan Dr. Shukur. Kita bersyukur kita mendapat pencerahan daripada kedua-dua  tokoh agama itu.
   
Bagaimana pun coklat itu sudah boleh dimakan sama ada kita mengikut fatwa Dr. Qardawi atau keputusan yang ditemui Jakim bahawa ia bersih daripada sebarang palitan babi, tetapi  penggemar coklat itu di Malaysia tidak terpengaruh  sangat dengan kedua-dua keputusan. Yang mempengaruhi mereka ialah tekak mereka.
  
Pertama was-was daripada berita awal ia dikatakan terpalit babi. Amat sukar was-was itu hendak dihapuskan. Kedua, apabila mereka cuba memakannya, mereka teringat berita awal mengenainya, maka tekak mereka kembang, tak terdaya menelannya dan kalau pun dipaksa menelan juga, tidak mustahil akan muntah.
   
Nasihat saya ialah mulai sekarang tukar saja jenama coklat itu. Gunakan resepi yang sama. Pastikan kilang itu kalis unsur babi.
   
Dan kedua, Jakim sendiri wajar mengadakan makmal sendiri dan pakarnya sendiri, menyelidik setiap produk yang memohon logo halal. Jakim tidak lagi sekadar mengeluarkan logo halal dan setiap yang halal itu datang dari penemuan makmalnya sendiri. Setiap syarikat mesti menyerahkan sempel produknya dua kali setahun. Pembaharuan permit mesti berdasarkan penemuan uji kaji yang baru.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722