Aizi Saidi Abdul Aziz 
Aizi Saidi Abdul Aziz


KUALA TERENGGANU - Semua jenis kegiatan melibatkan pertaruhan adalah haram di sisi agama Islam.

Imam Besar Masjid Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, sebagai umat Islam, kita ditegah daripada menyertai sebarang kegiatan melibatkan pertaruhan dan hukum itu jelas digariskan dalam agama.

“Judi haram di sisi agama kita walau macam mana jenis sekalipun, apabila ia melibatkan pertaruhan, maka ia adalah haram.

“Jadi, umat Islam perlu mengelak menyertai sebarang kegiatan melibatkan apa jua jenis perjudian terutama sempena musim Piala Dunia 2014 ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ramalan mengenai siapa yang menang atau kalah dalam perlawanan bola sepak itu tidak ditegah asalkan tidak melibatkan pertaruhan.

“Ramalan yang dibuat oleh binatang yang menjadi trend setiap kali musim Piala Dunia tidak menjadi salah kalau tidak melibatkan pertaruhan.

“Mungkin ramalan atas kemenangan pasukan itu mungkin dilihat dari segi kehebatan pemainnya atau prestasi persatuan yang cemerlang. Maka, ia tidak menjadi kesalahan kecuali ada yang bertaruh atas ramalan itu, itu tidak dibenarkan agama Islam,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, kegiatan pertaruhan dalam talian menggunakan telefon pintar merupakan trend terkini yang digunakan sindiket judi sempena Piala Dunia 2014.

Katanya, fenomena itu dikhuatiri akan lebih menyukarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan, sekali gus membanteras kegiatan tersebut malah sekiranya suspek ditahan, pendakwaan di mahkamah mungkin gagal kerana tiada bukti kukuh.