SANDAKAN - Konsep 1Malaysia seharusnya tidak dianggap sebagai gimik politik sebaliknya ia merupakan gagasan mengajak rakyat mendalami unsur kenegaraan dan keadilan sosial.
  
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata konsep itu penting bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang harmoni, aman dan makmur.
  
Katanya konsep 1Malaysia diyakini merupakan pendekatan yang sesuai dengan keperluan semasa bagi pembinaan bangsa Malaysia.
  
"Kerajaan negeri Sabah sentiasa menyokong usaha-usaha bagi meluaskan pengetahuan dan pemahaman masyarakat terhadap konsep 1Malaysia.
  
"Kita yakin inilah pendekatan yang sesuai dengan keperluan semasa bagi pembinaan bangsa Malaysia," katanya ketika merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris.

Musa berkata penganjuran pertandingan itu bertemakan 1Malaysia juga sesuai dengan Sabah yang merupakan model sebenar konsep itu.
  
Beliau yakin penganjuran pertandingan itu dapat membantu usaha memahami nilai-nilai teras di bawah gagasan 1Malaysia dan memastikan rakyat didahulukan dalam melaksanakan apa juga program pembangunan.
  
Sementara itu, pasukan Trio dari Bahagian Tawau muncul juara pertandingan itu.
  
Pasukan yang dianggotai Muhammad Adzmin Ab Fatta, Amirul Afiq Abdullah dan Mohd Fadhli Mohd Sulaiman akan mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan September nanti.
  
Selaku juara, mereka mendapat hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.
  
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Almain Ajirul berkata pertandingan ini bagi menggalakkan masyarakat menyampaikan pandangan berhubung sesuatu peristiwa bersejarah dan tokoh bersejarah kepada proses pembinaan negara, bangsa dan jati diri rakyat. - Bernama