Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Kes hak penjagaan anak: Najib perlu arah orang bawahan untuk jalankan tugas – Guan Eng

$
0
0
lge

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mengarahkan kakitangannya agar menjalankan tugas mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, bukan hanya mencadangkan kes perebutan anak antara ibu-bapa berbeza agama yang bercerai diselesaikan di Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata demikian ketika mengulas cadangan Najib tersebut, ekoran keputusan bercanggah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam dua kes perebutan hak penjagaan anak antara M Indira Gandhi dengan K Patmanathan (nama Islam, Mohd Ridzuan Abdullah) dan S Deepa dengan N Viran (nama Islam, Izwan Abdullah).

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkannya sebagai “cadangan kosong,” memandangkan pihak yang bertanggungjawab,iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah pun mengengkari perintah mahkamah sivil sebelum ini.

“Apa perlunya Najib mencadangkan kes itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan jika Ahmad Zahid dan Khalid lebih suka mempolitikkan isu itu dengan mengengkari perintah mahkamah?

“Beliau sebaliknya perlu mengarahkan kedua-duanya serta Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menjalankan tugas mereka iaitu menguatkuasakan perintah mahkamah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Najib juga kononnya yakin Mahkamah Persekutuan akan memberikan keutamaan kepada kes itu ekoran telah menarik perhatian pelbagai pihak.

Mengulas hal itu, Guan Eng berkata, persoalan sebenar kedua-dua kes itu bukanlah keutamaan daripada Mahkamah Persekutuan, tetapi sama ada kerajaan menghormati keadilan atau pun sebaliknya mengamalkan ketidakadilan.

Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah menyerahkan hak penjagaan tiga anak M Indira Gandhi dan Mohd Ridzuan – Tevi Darsiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa – kepada Mohd Ridzuan.
Namun pada Mac 11 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim mengarahkan hak penjagaan diberikan kepada Indira.

Bagi kes kedua, Mahkamah Rayuan pada 27 Mei lalu menolak permohonan Izwan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menyerahkan hak penjagaan dua anak kepada Deepa. Mahkamah Syariah sebelum itu menyerahkan hak penjagaan kepada Izwan.

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, mana-mana negara demokratik yang menghormati kedaulatan undang-undang tidak mengiktiraf pemisahan anak di bawah umur daripada ibu, melainkan ada bukti menunjukkan ibunya tidak berkelayakan menjaga mereka.

“Jika Najib benar-benar bimbang akan nasib dan prihatin anak-anak ini, beliau sepatutnya menjalankan tugasnya dengan mematuhi arahan mahkamah agar anak-anak ini dikembalikan kepada ibu mereka,” tambah beliau. – Roketkini.com

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722