“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorekngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimanakah cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku...” ~ (Al-Maidah, ayat 31)
“If the bee disappears from the surface of the earth, man would have no more than four years to live. No more bees, no more pollination ... no more men!” ~ Albert Einstein.
SELAIN penciptaan haiwan sebagai makanan dan tunggangan manusia, Tuhan menciptakan mereka sebagai pengajaran kepada kita. Atas hal ini, maka karya persuratan al-Quran telah menyeru umat agar menjadikan sikap haiwan-haiwan ini sebagai bahan pengajaran.
“Sesungguhnya, Allah tiada segan membuat perumpamaan seperti nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu...” ~ (Al-Baqarah, ayat 26)
Sastera lisan Melayu juga banyak menampilkan kisah burung, pelanduk sebagai tujuan asuhan, didikan dan pengajaran berguna. Memang panda tiada wujud di dalam hikayat Melayu.
Panda juga tiada disebutkan wataknya di dalam al-Quran seperti mana burung gagak disebut peranannya sebagai ‘guru’ kepada salah seorang anak Adam yang sudah berlaku zalim terhadap saudaranya sendiri.
Pada tahun 1846, sebuah buku dikarang Munsyi Abdullah berjudul ‘Bahawa Ini Hikayat Binatang’ dalam tulisan rumi.
Ia mengisahkan soal jawab mengenai pelbagai jenis haiwan yang bermula seawal penciptaan Adam dan Hawa dan seterusnya mengenai pelbagai haiwan seluruh dunia.
Sehingga kini, tidak diketahui adakah panda disebut atau tidak dalam buku terjemahan Inggeris-Melayu oleh Munsyi Abdullah itu. Jika panda wujud dalam hikayat itu, maka Munsyi Abdullah antara yang terawal memperkenal panda di Alam Melayu ini. Kalau sebaliknya, maka sejarah patut mencatatkan bahawa Najib Razak yang terawal memperkenal panda dengan menghabiskan wang negara.
Apa pun, Najib Razak tiada falsafah dalam urusan pembelian panda ini. Jika Najib ada pemikiran Islami, setidaktidaknya beliau merancang untuk membeli haiwan yang pernah disebut di dalam al-Quran ~ unta, anjing, keldai lalu diletakkan firman Tuhan yang berkaitan dengannya di Zoo Negara.
Contohnya, di kandang unta, dipamerkan firman Tuhan, “...tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?” (al-Ghashiyah, ayat 17).
Dan di kandang keldai diletak firman, “...Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman: 19).
Mudah-mudahan ini akan menjadi pengajaran untuk orang-orang yang suka mengeraskan suara kerana dirasuk oleh rasa takburnya.
Ya, tiada panda yang disebut dalam al-Quran. Mungkin haiwan panda bukan untuk iktibar. Panda ditakdirkan berada di China seperti Kangaru hanya di Australia.
Kangaru juga tiada disebut dalam al-Quran dan hikayat Melayu. Maka alasan membela panda guna membangun kesedaran terhadap haiwan yang semakin pupus ini demi sesungguhnya tidak masuk akal.
Peranan membela haiwan ini sepatutnya harus dipikul China sendiri.
Sejak dahulu lagi, sejak belum wujud kempen pembelaan terhadap haiwanhaiwan liar, bangsa Melayu telah lama memburu gajah-gajah di hutan. Maka, lahir pepatah ‘gajah diburu kerana gadingnya’. Perihal gajah mati diabadikan dalam peribahasa ‘bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru?’
Juga, nasib gajah yang malang ini digambarkan dalam bidalan, “seperti gajah putih ditambat”. Maka, pembunuhan gajah bukan baharu. Tiada kes pembunuhan panda, kangaru di Alam Melayu. Rujuklah Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan hikayat lain. Rajaraja Melayu gemar masuk hutan memburu pelanduk sebagai santapan.
Menurut lagenda, Pandak Mayah (bapa Mahsuri) pernah menangkap ular cinta mani. Dalam Sulalatus Salatin, diperihalkan Merah Silau bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing. Sekali lagi, panda adalah sesuatu yang asing dalam karya persuratan Islam dan Melayu.
Pembelian panda ini, mungkin hanya dorongan minat Najib Razak sahaja kerana beliau suka bermanja dengan kucing Parsi gebu yang seakan-akan mirip panda.
Untuk rekod, kucing kacukan Parsi ini dibelinya dengan harga RM650 pada tahun 2010 dalam acara Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Sungguh ironi!
Untuk kucing peribadi, Najib Razak mengguna duit sendiri mungkin kerana ia murah. Tapi, adakah kerana panda, beliau sanggup gunakan duit rakyat demi kesukaan peribadinya? Jutaan duit komisyen kapal selam atau duit tabungan Rosmah patut digunakan terlebih dahulu sebelum wang rakyat digunakan.
Tanpa panda, manusia masih boleh meneruskan kehidupan. Namun, jika lebah (namanya diangkat sebagai surah dalam al-Quran) sudah pupus di dunia, alamat riwayat manusia akan berakhir. Albert Einstein mengakui hakikat ini. Kata beliau, jika lebah hilang daripada bumi, manusia cuma ada empat tahun lagi untuk bertahan. Jika lebah tiada, maka kita tidak memiliki tanaman berbuah. Akhirnya, dunia mengalami krisis makanan.
“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan manusia....” (An-Nahl: 68) Jelaslah, Allah mewahyukan lebah untuk membuat sarang-sarang di bangunan manusia. Lebah dan manusia berpisah tiada. Tanpa kucing Parsi dan panda sekali pun, riwayat dunia masih belum berakhir.