Ahmad Zahid HamidiAhmad Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR - Kerajaan memandang serius kes kemasukan berulang atau residivis dalam kalangan banduan yang dipenjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, statistik Jabatan Penjara Malaysia bagi tahun lalu menunjukkan 6,769 banduan kes berulang.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 5,553 banduan merupakan banduan kes jenayah manakala 1,216 banduan kes berkaitan dadah.

"Tempoh hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan tersebut bermula dari hukuman singkat ( bawah enam bulan) sehinggalah kepada hukuman seumur hidup (30 tahun)," katanya yang menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, hari ini.

Er Teck Hwa meminta kementerian menyatakan jumlah banduan yang ditahan di penjara bagi kesalahan kali pertama, kedua, ketiga dan keempat mengikut pecahan jenis kes jenayah dan hukuman.

Menurut Ahmad Zahid, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa menambahbaik program pemulihan supaya banduan tidak kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan.

"Kementerian memandang serius kes kemasukan berulang kes kemasukan berulang di kalangan banduan dan telah menetapkan kadar residivis sebagai tanda aras prestasi kementerian.

"Untuk makluman, kadar residivis bagi tahun 2013 ialah 7.61 peratus iaitu masih di bawah kadar residivis yang telah ditetapkan oleh kementerian iaitu 9 peratus," katanya.