Rohani (dua, kanan) ketika melawat Kompleks Perlindungan Sementara (Pusat Sehenti Bina Diri) Sungai Buloh, semalam.
SUNGAI BULOH - Lebih 40,000 kerja kosong dikenal pasti untuk golongan gelandangan di bawah program basmi gelandangan Ops Qaseh, bermula Julai ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Ops Qaseh akan dilakukan secara besar-besaran bagi membasmi golongan gelandangan sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
Menurutnya, kempen ini melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.
"Kementerian akan bertegas. Selepas kita tubuhkan Anjung Singgah dan Desa Bina Diri (DBD) untuk menempatkan golongan ini dan memberikan bantuan sewajarnya, tidak akan ada lagi gelandangan di jalanan.
"Saya akan turun padang berjumpa pihak berkuasa tempatan untuk memastikan program ini mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak. Lepas ini nampak sahaja gelandangan, orang baring tepi jalan kita tahan. Buat soal jawab dan tempatkan mereka di tempat sepatutnya mereka berada, " katanya dalam lawatan ke Kompleks Perlindungan Sementara DBD Sungai Buloh, di sini, semalam.
Rohani berkata, 40,000 kerja kosong itu dikenalpasti kebanyakannya melibatkan pasar raya besar seluruh negara.
"Kita senaraikan gelandangan yang berkelayakan dan beri kepada majikan untuk diserap bekerja. Bagi gelandangan yang ada masalah, kita akan rujuk ke jabatan lain seperti agensi dadah, kaunseling, kesihatan dan lain-lain untuk diberi bantuan sewajarnya, " katanya.
Ops Qaseh merupakan susulan daripada usaha kerajaan yang menjalankan kempen Henti Memberi, Kami Prihatin di bawah kementeriannya sebelum ini.
Kempen tersebut mendapat respons positif apabila kadar penangkapan gelandangan menurun sejak 2011, iaitu seramai 1,446 kepada 1,000 orang pada 2013.
"Sepertimana Anjung Singgah, penubuhan DBD juga membawa matlamat untuk membantu golongan ini mendapat perhatian sewajarnya. Kita beri tempat tinggal dan makan minum, kaunseling dan pendidikan termasuk perlindungan kerjaya, " katanya.
DBD dibangunkan untuk memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada pengemis dan orang papa bagi melahirkan individu produktif dan berkemahiran.
Ia bertujuan mengubah sikap gelandangan menjadi lebih positif sebagai persediaan untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Dalam perkembangan lain Rohani berkata, seramai 735 gelandangan yang mendaftar di Anjung Singgah telah memperoleh pekerjaan.