Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Akta baru akan diperkenal benteras penagih gam

$
0
0

BERNAMA 


MELAKA: Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan satu undang-undang dikenali sebagai Akta Inhalant bagi membanteras penyalahgunaan gam terutama di kalangan remaja.

Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Suhaimi Abdullah berkata undang-undang tersebut yang kini dalam proses akhir penggubalan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan dalam masa terdekat.

"Perkara ini telah lama dibincangkan namun dari segi pelaksanaannya agak sukar jadi kita berharap akta baharu ini dapat membantu menangani isu penyalahgunaan gam di kalangan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pelaksanaan akta tersebut penting ekoran pembabitan remaja dalam penyalahgunaan gam dilihat semakin meningkat dan tiada akta khas untuk menyekat atau menghukum mereka yang terlibat.

Katanya isu penyalahgunaan gam perlu dipandang serius kerana ia boleh merosakkan mental penagih dalam masa yang singkat berbanding penyalahgunaan dadah lain.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata peningkatan isu itu juga didorong pelbagai faktor termasuk harga gam yang murah dan mudah didapati.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri bercadang untuk menggubal Enakmen baharu bagi mengawal penjualan gam di beberapa premis tertentu bagi menghalang bahan itu dijual secara berleluasa.

Beliau berkata melalui enakmen itu, penjualan gam mengikut isipadu tertentu akan dihadkan kepada perniagaan yang terlibat dengan penggunaan gam seperti kedai basikal, motor, kereta dan kasut.

"Jika perlu nama pembeli gam tersebut perlu direkodkan bagi tujuan semakan dan kedai yang tiada kaitan dengan penggunaan gam dilarang sama sekali penjualannya," katanya. -BERNAMA

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722