Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keon mempersoalkan tindakan kerajaan menanggung kos pembinaan landasan tambahan menghubungkan KLIA dan KLIA2 bernilai RM100 juta yang sepatutnya ditanggung kontraktor Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).
Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membangkitkan hal itu 28 April lalu.
Nur Jazlan dilaporkan berkata, landasan sepanjang 2 kilometer itu sepatutnya termasuk dalam projek pembinaan KLIA2 dan ditanggung kontraktor sendiri.
“Mengapa landasan ini tidak dimasukkan dalam peruntukan awal sehingga terpaksa keluarkan tambahan RM100 juta?” soal Steven dalam sidang media di Parlimen.
Menurutnya lagi, ketika hal itu dibangkitkan di parlimen, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi cuba mengelak dengan hanya menjawab ia dibina untuk kegunaan rakyat.
“Saya tidak menolak kepentingan kemudahan awam, tetapi isu utamanya adalah penggunaan duit rakyat tetapi pada masa yang sama syarikat swasta yang mengaut keuntungan.
“Landasan ini adalah tambahan kepada landasan ERL Express yang dikendalikan Express Rail Link (ERL) Sdn Bhd. Walaupun kosnya ditanggung rakyat, penumpang yang ingin menggunakannya perlu membayar tambahan RM2, selain RM35 bagi perjalanan dari KL Sentral ke KLIA.
“Ini sama seperti ‘memilikrakyatkan kos, menswastakan keuntungan.’ Mengapa kerajaan membantu ERL Sdn Bhd mengembangkan asetnya dengan mengorbankan wang rakyat?” soalnya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa ERL Sdn Bhd dianugerahkan konsesi 30 tahun pada 1997, dengan pilihan untuk dipanjangkan lagi untuk tempoh 30 tahun seterusnya, bagi membina dan mengendalikan keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan KLIA.