Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

LPHJ - Idea Khaled Atau Kehendak Sultan?

$
0
0

shahbudindotcom.


Isu campurtangan Sultan atau Raja kembali menjadi perbualan berikutan hasrat Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu membentangkan rang undang-undang penubuhan Lmebaga Perumahan dan Hartanah Johor atau LPHJ. Ia dijangka dibentangkan hari ini di DUN Johor tetapi ramai pihak mahukan ia ditangguhkan dan diteliti semula kerana jelas memperlihatkan campurtangan Sultan didalamnya.

Walaupun Menteri Besar masih diletakkan sebagai Ketua Eksekutif lembaga itu manakala Exco Perumahan sebagai timbalannya, pertuntukan rang undang-undang itu yang memberi kuasa kuasa kepada Sultan dalam beberapa aspek, meskipun atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri, tetapi ia tetap menimbulkem kebimbangan ramai.

Kebimbangan ramai ialah kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang, kuasa eksekutif dalam mana-mana pentadbiran adalah dipegang oleh Menteri Besar di peringkat negeri dan Perdana Menteri di peringkat pusat, kecuali hal-hal berkaitan agama yang diletakkan dibawah Sultan atau Yang Dipertuan Agong.

Sebelum ini, laporan awal yang didedahkan menyebut bahawa LPHJ itu memberi kuasa penuh kepada Sultan Johor untuk melantik ahli lembaganya, memantau akaun dan membubarkannya. Malah difahamkan Sultan juga diberi kuasa menentukan ganjaran dan perlantikan ahli lembaga pengarah serta menentukan anggaran perbelanjaan setiap tahun sebelum mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Selain Pas dan DAP yang membantah pembentangan rang undang-undang baru itu yang disifatkan bertentangan dengan amalan Raja Berperlembagaan dan mungkin akhirnya mencemarkan kedudukan Raja, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Johor, Ali Hashim juga menyatakan kebimbangannya. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam juga turut melahirkan kebimbangan dan mahukan penerangan yang lebih kepada orangramai diberikan.

Akhbar Utusan pula menjadi suara paling lantang mengkritik rang undang-undang baru itu. Namun demikian Perdana Menteri, Najib Razak seakan bersetuju dengan penubuhannya dan menyatakan ia selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang.

Najib juga dilaporkan sudah diberikan penerangan oleh Khaled mengenai penubuhan LPHJ yang akan merancakkan lagi pembinaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor.

Bagaimanapun Khalid juga dilaporkan sudah meminda peruntukan dalam rang undang-undang itu dengan memasukkan perkataan atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri berikutan sanggahan bertali arus daripada banyak pihak sejak beberapa hari lalu mengenai rancangan penubuhan LPHJ itu.

Selain ramai melahirkan kebimbangan mengenai Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak yang menjadi sistem negara ini, memberi kuasa kepada Sultan juga mendedahkan kepada pelbagai elemen yang akhirnya mencemarkan kedudukan Raja itu sendiri. Jika LPHJ itu dipertikai dan dikecam, akhirnya kedudukan Raja juga terlibat sama.

Dalam pada itu, yang menjadi persoalan juga ialah kenapapah LPHJ ini mahu ditubuhkan dan siapa punya idea mengenainya? Adakah ia idea Khaled selaku Menteri Besar, kehendak Sultan Johor atau idea daripada kalangan yang rapat dengan Istana Johor?

Dan jika ianya idea daripada Khaled sendiri, apakah LPHJ ini benar-benar perlu dalam memastikan pembinaan rumah kos rendah dah rumah mampu milik dapat dibina? Adakah kedudukan Khaled sendiri sebagai Menteri Besar, adanya Exco perumahan, pelbagai jabatan dan agensi lainnya masih tidak cukup untuk membina rumah bagi kepentingan rakyat Johor?

Atau adakah ia menunjukkan kepimpinan Khaled yang begitu lemah sehingga memerlukan sebuah lembaga yang ada peranan dan penglibatan Sultan Johor sendiri dalam menggerakkannya mentadbir negeri itu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan yang bermain di kepala rakyat mengenai LPHJ ini tetapi yang paling dibimbangi ialah kedudukan Raja akhirnya akan tercemar dan terdedah kepada pelbagai kritikan serta kemungkinan adanya campurtangan pihak lain dalam pentadbiran negeri yang menggunakan kedudukan Raja itu sendiri.

Semua pihak memahami Raja ialah Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak serta mahu kedudukan itu dikekallan sampai bila-bila. Memberi kuasa kepada Raja campurtangan melalui LPHJ ini juga memungkinkan di lain masa wujud pelbagai lembaga lain dalam kepentingan yang lain pula atau dituruti oleh negeri lain.

Jika itu berlaku dan bangkit kemarahan rakyat, siapakah yang mahu dipersalahkan. Mahathir sebelum ini pernah mengingatkah bahawa meskipun orang Melayu taat dan sayang kepada Raja tetapi sejarah juga memperlihatkan mereka tidak teragak-agak menentang seperti mana dalam sejarah Sultah Mahmud mangkat dijulang.

Oleh itu, dengan Khaled tetap juga bertekad mahu membentangkan rang undang-undang itu dan suara UMNO pula hampir tenggelam dalam isu ini, tidak disangsikan lagi bahawa LPHJ ini akan menjadi kenyataan akhirnya. Namun tiada sesiapa yang dapat memberi jaminan bahawa melalui lembaga itu kedudukan Raja sentiasa terpelihara, tidak terdedah kepada cecehan umum dah pelbagai dakwaan yang tidak baik.

Tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak baik dan kedudukan Raja tercemar ddi masa hadapan, tentulah Najib, Khaled dan UMNO yang gagal berperanan sewajarnya akan memikul tanggungjawabnya. Sejarah akan menghukum mereka selagi ada bulan dan bintang.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722