Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang hari ini sekali lagi membidas tindakan pilih bulu pihak berkuasa yang sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap pencerobohan sekumpulan anggota Umno ke atas DUN negeri itu beberapa minggu lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, sepatutnya hukuman berat dikenakan beberapa individu terbabit kerana telah mencemarkan kesucian Perlembagaan Negeri serta mencabar kuasa Yang Dipertua Negeri.
“Mereka ini wajar dikenakan hukuman berat di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan. Mengapa tidak ada sebarang tindakan?
“Tindakan menceroboh itu telah menyebabkan sidang terpaksa ditangguhkan selama 2 jam.
“Mengapa ‘double standard’ dalam menjatuhkan hukuman? Apakah kita mengamalkan undang-undang rimba? Jangan hanya menanam tebu di pinggir bibir saja, asas perlembagaan mesti dihormati,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beberapa minggu lalu, sekumpulan 100 anggota Umno dan NGO telah merempuh pagar utama Dun Pulau Pinang untuk menyerang Adun DAP Seri Delima RSN Rayer.
Rayer dikatakan menghina Umno ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, dengan menyatakan beberapa pemimpin parti itu cuba menghasut rakyat dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969 dalam satu demonstrasi 20 Mei lalu. -Roketkini.com