Dyana Sofea boleh menjadi jambatan bagi mendekatkan hubungan antara PAS dan DAP.
PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky Latif berpendapat biarpun calon DAP, Dyana Sofya tewas dalam PRK Teluk Intan, orang ramai di luar masih berteka-teki mengenai hala tuju wanita itu.
Katanya, ada yang meramalkan Dyana bakal meninggalkan DAP seperti yang diagak oleh seorang raja yang pernah diberi kedudukan tinggi dalam pimpinan DAP.
Katanya, beliau sangka Dyana juga sepertinya untuk terus tidak berpolitik lagi. Namun, Dyana sendiri tegas betapa dia tidak putus asa atas kekalahan kecilnya di PRK Teluk Intan yang lalu.
“Saya bersetuju dengan pendirian Dyana yang mahu kekal sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang dan jika diizinkan waktu, Dyana perlu diberi peluang sekali lagi untuk merebut jawatan Ahli Parlimen pada PRU-14 kelak,” katanya dalam kolum mingguannya dalam sebuah portal milik PAS.
Subky yang juga wartawan veteran berkata timbalah sebanyak mana pengalaman dalam DAP dan beliau fikir kiranya dia kekal di situ, Dyana akan muncul kembali dengan kekuatan baru pada PRU akan datang.
Katanya, Dyana perlu seimbangkan dan mengukuhkan akidahnya bagi mendapat kesenangan di dunia dan di akhirat.
“Rapat dan ikuti program PAS sebagaimana ADUN DAP Sekincan lakukan. Dyana harus mencontohi Liew Chin Tong, MP DAP Kluang yang tahu mendalam tentang pemikiran politik Islam yang dianuti PAS,” ujarnya.
Katanya, Dyana boleh menjadi orang yang berakidah dalam DAP sekaligus dapat menyampaikan mesej yang tepat tentang Islam kepada rakan-rakan dalam DAP termasuk akan keindahan hudud.
“Kita ambil contoh seperti isteri Firaun yang tidak beriman kepada Firaun tetapi beriman dengan Allah. Dalam konteks ini, bezanya dia jangan memusuhi DAP dari dalam. Jika dia boleh menjadi orang DAP yang rapat dengan pemikiran politik PAS, maka dia boleh menjadi jambatan bagi mendekatkan hubungan antara PAS dan DAP,” ujarnya.
Hubungan masa depan DAP dengan PAS adalah lebih penting. Dyana boleh menjadi elemen berguna bagi mengukuhkan hubungan itu.
Bercakap mengenai kedudukan ibu Dyana Sofia dalam Umno, Subky merasakan wanita itu mungkin tidak akan bertahan lama dalam Umno.
“Mungkin mereka tidak pecat dia dari Umno tetapi dengan mereka menghina anaknya tidak henti-henti, maka Umno bukan lagi menyenangkan fikirannya dan keluarganya.
“Untuk ibu Dyana, PAS adalah parti yang sesuai untuk disertainya oleh ibunya sekiranya beliau keluar dari Umno. PAS menghormati Dyana untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar DAP dan kami menghormati pilihannya.
Katanya lagi, biarpun Dyana tidak bersama isu hudud pada PRK Teluk Intan yang lalu, tetapi PAS sentiasa ada bersama beliau!