SHAH ALAM - Abaikan fatwa Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai hukum menggunakan gelatin babi, demikian nasihat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin kepada umat Islam negara ini.
Bagaimanapun katanya, pendapat tokoh ulama itu yang menghukumkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam sebagai halal mengikut konsep istihalah tidak seharusnya dicurigai, cuma ia tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.
"Malaysia bukan negara darurat (untuk dibenarkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam). Di sini kita masih mudah dapat bekalan makanan halal," katanya.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mengeluarkan senarai makanan halal, justeru tidak ada sebab kukuh untuk kita sampai perlu atau terpaksa menggunakan gelatin babi yang dibenarkan mengikut konsep istihalah.
Mengenai reaksi sebilangan ulama negara ini yang jelas begitu mencurigai pandangan Al-Qaradawi mengenai perkara tersebut, Abd Shukor berkata, kita tidak seharusnya cepat melatah menghadapi kenyataan kontroversi seperti itu.
"Pertamanya, jangan samakan atau bandingkan pandangan seperti itu dengan keadaan di negara kita. Pandangan beliau ada kebenarannya dan berdasarkan hujah. Cuma pada keadaan semasa, ia tidak relevan (untuk dipraktikkan) di sini," tegasnya.
Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, dalam melakukan sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya, umat Islam di negara ini seharusnya berpandu kepada fatwa yang dikeluarkan oleh JFK yang melakukan kajian dan perbincangan teliti dengan merujuk kepada kitab-kitab muktabar sebelum membuat sesuatu keputusan.
"Keputusan yang kita (JFK) buat adalah mengikut kesesuaian keadaan dalam negara kita sendiri, dan inilah yang menjadikan kenyataan (atau fatwa) sesetengah pihak (ulama) dari luar negara berbeza dengan kita," katanya.
Al Qaradawi dalam kenyataannya beberapa hari lalu menyatakan bahan yang asalnya adalah babi tertakluk kepada hukum baharu iaitu halal setelah mengalami transformasi bahan atau perubahan zat yang menghilangkan terus sifat yang ada pada unsur asal.
Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti ini disebut sebagai istihalah.
Kenyataan ulama terkenal itu bagaimanapun tidak disanggah oleh beberapa ulama tempatan yang menyatakan bahan yang haram di sisi hukum Islam tetap dianggap haram meskipun mengalami perubahan zat.
Menurut Abd Shukor, istihalah yang disebut Al-Qaradawi boleh diguna pakai berdasarkan kedudukan, keadaan dan kemaslahatan di tempat-tempat tertentu.
"Di negara ini, seperti yang saya katakan tadi, ia tidak sesuai," tegasnya.
Menurutnya, istihalah lebih sesuai dipraktikkan di negara Barat yang umat Islam adalah golongan minoriti serta sukar untuk mendapatkan bekalan halal.
"Apa pun, yang paling perlu bagi kita adalah mengelak makanan yang berstatus meragukan atau syubhah," katanya.