MSTAR ONLINE
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, Isnin.
"Kos berkenaan digunakan untuk pembiayaian awal bagi menggerakkan aset milik kerajaan Malaysia dan tentera dari segi kos bahan api, makan dan minuman pasukan pencarian," katanya.
Hishammuddin berkata, kos berkenaan adalah kecil jika dibandingkan dengan kos yang dikeluarkan negara lain untuk menggerakkan aset dan keperluan logistik yang menelan belanja lebih RM73.5 juta (AS$23 juta).
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.