SHAH ALAM - Bahan yang asalnya adalah babi tertakluk kepada hukum baharu iaitu halal setelah mengalami transformasi bahan atau perubahan zat, kata ulama terkenal, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi seperti dipetik sebuah portal.
Menurut beliau, hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Dalam hal ini, katanya, `illah merujuk kepada ia tidak kembali wujud.
“Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, – dan saya mendengar daripada saudara kami Dr Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, – dia berkata kepada kamu: Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal),” katanya.
Beliau turut memberikan beberapa contoh lain mengenai transformasi bahan.
“Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: Apabila sesuatu najis ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasi menjadi sesuatu bahan yang lain – asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu yang lain – contohnya menjadi sabun.
“Para fuqaha’ berkata, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya halal kerana menjadi bahan yang lain. Mereka berkata: Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak jumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan,” katanya.