KUALA LUMPUR - Umno Selangor menerusi Pengerusi Perhubungan Negerinya, Datuk Seri Noh Omar akan berbincang secara dalaman berhubung isu memansuhkan dua tol dari Klang - Shah Alam menuju ke ibu negara.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang memberi jaminan perkara itu akan sampai ke Kabinet walaupun tidak diusulkan di Parlimen.
"Usul (mansuh tol) tidak perlu, saya akan bincang secara dalaman dan sebelum ini pun kita telah mansuhkan beberapa plaza tol tanpa perlu dibawa ke Parlimen.
"Ini kerana kerajaan sebelum ini pernah memansuhkan tol di Batu 9 Lebuh Raya Cheras-Kajang menghala ke Kuala Lumpur dan di Batu 11 menghala ke Kajang tanpa perlu dibawa dijadikan usul," katanya kepada Sinar Harian Online, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Hujung bulan lalu Noh meminta kerajaan mempertimbangkan supaya Plaza tol Sungai Rasau dan Batu Tiga dimansuhkan akibat kesesakan teruk pada waktu puncak.
Beliau sebelum ini tidak menolak kemungkinan menyuarakan isu tersebut ke Parlimen pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.
Terdahulu, Noh memberitahu pernah membangkitkan perkara itu di Kabinet dan kajian mengenainya sudah dibuat namun tiada keputusan muktamad dicapai.