KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui mengenakan tindakan tatatertib terhadap 16 pelajarnya pada 26 Mei lalu di bawah peraturan universiti kerana terlibat dengan bantahan di hadapan Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 25 Februari lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Bahagian Media dan Citra, Jabatan Canselori UMS, tindakan tatatertib itu dibuat ekoran para pelajar terbabit didapati melanggar Kaedah 9 (3) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999 iaitu; “tiada pelajar boleh menghadiri atau menyertai sesuatu perhimpunan yang diadakan yang berlanggaran dengan subkaedah (1) dan (2)”.
Para pelajar terbabit terlibat dalam perhimpunan membantah tindakan pengurusan UMSKAL memindahkan kedai G-Shop yang dikendalikan mahasiswa ke lokasi lain.
Menerusi prosiding tatatertib, seramai 15 orang mahasiswa telah hadir manakala seorang mahasiswa tidak hadir dengan alasan munasabah.
“Daripada 15 orang mahasiswa yang hadir, seramai 8 orang telah mengaku bersalah terhadap kesalahan tersebut, sementara seramai 7 orang mahasiswa lagi tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan,” kenyataan media itu dipetik.
Pelajar yang mengaku bersalah telah diberi amaran dan tidak dibenarkan menggunakan kemudahan asrama selama satu semester.
Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar UMS juga telah membicarakan tiga pelajar pada 3 dan 4 Jun lalu dan mendapati mereka telah melanggar Kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999.
Para pelajar terbabit telah diberi amaran dan digantung pengajian selama satu semester.
Lima pelajar lagi akan dibicarakan pada tarikh yang akan ditentukan pihak berkuasa tatatertib pelajar.
UMSKAL mengakui bahawa proses tatatertib yang diambil adalah mengikut prosedur usang yang telah ditetapkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999.
Mahasiswa yang telah didapati bersalah, jelas UMSKAL diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat keputusan untuk membuat rayuan ke Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar.
Tindakan tataertib yang dikenakan UMSKAL terhadap para pelajar terbabit mendapat bantahan daripada beberapa persatuan mahasiswa.
Satu memorandum juga telah dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tindakan UMSKAL yang dianggap menekan suara mahasiswa.
Dewan Pemuda PAS turut membantah tindakan keterlaluan UMSKAL dan menggesa university terbabit mengkaji semula hukuman tersebut.
Kumpulan pelajar terbabit telah mengusahakan kedai G-Shop tersebut selama enam tahun.
Kedai yang mula beroperasi sejak 2008 itu memberikan peluang untuk mahasiswa mengasah bakat dalam perniagaan.
Namun pihak universiti telah mengeluarkan notis supaya premis itu dikosongkan bagi disewa kepada pihak luar.
Bantahan dilakukan kelompok mahasiswa apabila rundingan yang diadakan dengan pengurusan UMSKAL gagal membuahkan hasil.