Quantcast
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Sayang jangan bertompok-tompok, benci jangan merata-rata



Kepimpinan yang reput merupakan penyebab berlakunya situasi sekarang ini. Rakyat Malaysia amnya dan Melayu khususnya sedang terperangkap dalam situasi hendak kedepan dan mencari kepimpinan yang betul dan baik, mereka tidak berani dan masih terikat dengan perut yang gondol. Hendak berdiam diri pula mereka tahu rakyat ramai akan menghadapi kehidupan yang tidak menentu dan jauh sekali untuk mendapatkan jaminan bagi kesejahteraan masa depan generasi mereka.

Kepimpinan negara diberikan kepada mereka yang terlalu berkehendakan jawatan dalam kerajaan dan kabinet. Itu sebabnya kita mendapati kepimpinan yang tidak semenggah kerana kita memberikannya kepada mereka yang mempunyai 'desperation' untuk menjadi pemimpin negara tanpa mempunyai ciri-ciri kepimpinan sejajar dengan negara yang mahu maju dan rakyat yang bersatu padu.

Apabila sudah menjadi pemimpin mereka akan gagal mentadbir negara kerana sebab peribadi yang keterlaluan. Sememangnya kepimpinan yang mempunyai agenda peribadi yang berlebihan tidak akan berbuat keputusan dengan baik, samada dalam ekonomi mahu pun politik serta pembangunan sosial. Pemimpin yang mendapatkan kepimpinan melalui tagihan dengan berbagai cara politik selalunya akan mendapat kepimpinan yang lemah dan akan terus menggunakan kuasa dan otot untuk mempertahankan jawatan yang enak-enak itu.

Jika sudah ada tanda-tanda penentangan terhadap kepimpinan mereka, puak ini akan diketepikan dengan berbagai cara. Setengahnya dilakukan dengan sistematik dan licik seperti yang dilakukan oleh oleh Dr Mahathir dan ada juga yang bermain dengan cucuk sana dan cucuk sini bagi memecahkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan mereka yang sudah lemah itu.

Maka wujudlah ‘vacuum’ yang sangat besar dalam kepimpinan negara terutamanya bagi parti yang sedang berkuasa. Dengan permainan politik seperti ini maka akan lahir barisan kepimpinan yang lemah walaupun hajat mereka yang ingin berkuasa lama itu tercapai. Hasil dari itu maka negara dipimpin seperti pimpinan orang buta yang tidak nampak yang mana satu yang baik dan yang mana yang tidak baik.

Maka wujud kepimpinan negara yang lemah dan mereka seolah-olah seperti manusia pembawa dalil hari hendak kiamat. Salah satu dalil hari akan kiamat ialah yang benar nampak salah dan yang salah diterima sebagai kebenaran. Yang kejam dan yang bermasalah akan dijunjung dan dihormati, dan yang benar serta baik itu akan terhimpit dan dikeji.

Bagi saya pembaik pulihan tidak boleh dilakukan oleh pimpinan hari ini kerana kesemua mereka adalah penyumbang kepada segala masalah yang kita hadapi hari ini. Mereka juga mahu melakukan yang baik, tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan perkara baik disebabkan mereka tidak dapat mengenal yang mana baik dan mana yang sebaliknya.

Malahan ada yang memberikan pandangan yang begitu buruk terhadap kepimpinan hari ini. Pernah seorang sahabat yang berkata, “If you want to break anything, give it to the current BN leaders to do it, if you want to make it worst, give it to them again to fix it back”.

Itulah sebabnya yang saya begitu gerun melihat apa yang sedang berlaku sekarang ini dan untuk memperbaiki keadaan, semua kepimpinan hari ini perlu melakukan pengorbanan untuk kebaikan masa depan dan generasi kita. Kita memahami yang mereka yang sedang memimpin kita hari ini amat sayang kepada jawatan yang sedang mereka pegang.

Jika ada niat yang baik terhadap masa depan negara pengorbanan perlu dilakukan dan untuk berkorban ia merupakan tugasan yang paling susah kerana berkorban bermakna kita tinggalkan apa yang kita sayangi. Jika kita tinggalkan perkara yang kita tidak menyayanginya itu bukannya pengorbanan. Untuk berkorban kita perlu membenamkan rasa cemburu dan berhenti melayani perasaan cemas dan ego masing-masing guna memberikan keyakinan terhadap diri kita sendiri untuk kepentingan masa depan negara.

Selalunya adalah lebih baik diberikan kepimpinan kepada orang yang tidak menagih untuk kepimpinan itu. Malahan kita perlu menagih dari sesiapa yang dianggap mampu untuk menterjemahkan semua aspirasi negara kepada mereka yang tidak nampak menagih dan terdesak untuk menjadi pemimpin utama negara. Kita tagih kepimpinan darinya bagi membawa kita semua kearah kemajuan siasah dan pembangunan negara kita ini yang berpaksikan kepada ‘ultimate’ kita, iatu rakyat berbilang kaum dan agama serta berbeza cara hidup mereka yang bersatu dalam erti kata yang sebenarnya.

Tengku Razaleigh merupakan yang paling bertepatan untuk membawa perubahan jika kita mahu mengakui hakikat sebenarnya tanpa melayani segala perasaan prejudis terhadap beliau. TR mempunyai 'wisdom' yang tinggi yang tidak mahu berkompromi dengan 'attribute' seorang pemimpin yang berintergriti yang ada kepada beliau.

Apabila seseorang itu serius mahukan perubahan dari stigma yang begitu reput yang ada kepada politik negara maka seorang yang tidak terlibat dengan segala kemungkaran yang berlaku pada hari itu merupakan orang yang paling sesuai untuk melakukan ‘fixing back’ terhadap kereputan sistem politik yang kita sedang alami pada hari ini.

Bagi saya jika barisan yang melakukan perpecahan itu, maka adalah sangat merbahaya untuk memberikan tugasan untuk memperbaiki keadaan kepada mereka. Pembaik pulihan itu wajar dilakukan oleh pihak yang lain dari kumpulan yang menyebabkan kereputan sistem politik itu.

Ia perlu diterima kerana kita memerlukan pembaharuan terhadap sistem politik kita hari ini. Seperti yang kita selalu sebutkan, kita memerlukan politik dan siasah baru untuk menyesuaikan negara kita dengan kehendak masa dan zamannya. Kita mulakan negara baru seperti yang dilakukan oleh YTM Tunku dahulu dan juga oleh Tun Razak pada awal tujuh puluhan dahulu.

Kita dalam ‘desperation’ untuk mendapatkan seorang pemimpin yang tinggi ‘magnanimity’ nya untuk melakukan pembaharuan itu. Mahu tidak mahu itulah kenyataannya. Selagi kita tidak mahu menerima kenyataan apa yang kita hadapi hari ini tetap akan berpanjangan yang tidak tentu bila sampai ke titik noktahnya.

Hentikan perselisihan dan berbincang dengan hati dan jiwa yang terbuka semata-mata untuk kepentingan negara dan generasi kita. Hentikan perselisihan kerana penyebab perselisihan selama ini pun adalah disebabkan kesalahan dan kesilapan kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Kita alih dan anjak keadaan politik negara kita ini, dari ‘ambience’ hari ini kepada ‘ambience’ yang baru. Ingat, yang menang tidak memenangi semua dan yang kalah pun tidak akan hilang semua.
Sayang kita jangan bertompok-tompok, benci kita jangan merata-rata.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722