KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Penggantungan akhbar mingguan the Heat bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal melakukan sebarang transformasi terhadap dasar Umno-BN, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Najib pernah mendakwa Malaysia ‘demokrasi terbaik di dunia’. Tetapi kritikan terhadap beliau dan isteri tidak dibenarkan.
“Permit penerbitan adalah amalan yang lapuk dan tidak lagi relevan. Perubahan sebelum ini bersifat kosmetik semata-mata,” kata Nik dalam kenyataan.
Perdana Menteri sebelum ini berjanji untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984 (PPPA) dalam perutusannya sempena Hari Malaysia pada 15 September 2011.
Malah Najib dalam ucapannya berbangga dengan pemansuhan PPPA sambil mengatakan bahawa media di Malaysia lebih bebas, menduduki tangga pertama dan berjaya menewaskan Indonesia di kalangan Asia Tenggara.
Justeru, Nik Nazmi menyeru rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan demokrasi untuk bersama-sama ke ‘Protes Pensil Merah’ esok sebagai tanda solidariti.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa memberi kerjasama kepada himpunan dan menghormati tuntutan Gerakan Media Marah (GERAMM)
“Kedua-dua hak untuk berhimpun secara aman dan bersuara dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Nik.