Abdul Malik bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini. - Foto Sinar Harian oleh: NOR FARHANA AHMAD
GEORGETOWN - Bekalan minyak masak dan tepung mencukupi dan pengguna tidak perlu membuat pembelian panik agar pasaran terus stabil.
Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pengilang dan pengusaha pasar raya besar ketika bertemunya hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan perbincangan itu dimaklumkan bahawa bekalan minyak masak dan tepung mencukupi untuk kegunaan tempatan.
"Setakat ini, belum ada aduan dari pengguna atau peniaga mengenai kekurangan barangan itu di pasaran walaupun ada negeri jiran dilaporkan mempunyai masalah bekalan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bekalan kedua-dua barangan itu masih mencukupi tetapi agak berkurangan dari biasa.
Pemilik kedai runcit, Chandrasegaran a/l Muniandy, 52, berkata, bekalan minyak masak stabil tetapi kuantitinya kurang sedikit berbanding sebelum ini.
"Selalunya saya mengambil dua kotak untuk minyak masak dalam paket seminggu tetapi awal bulan ini hanya mendapat satu kotak.
Bagaimanapun, minyak masak dalam botol mencukupi.
"Bekalan untuk tepung gandum tiada masalah. Saya mengambil bekalan untuk barangan ini seminggu sekali," katanya.
Seorang lagi pemilik kedai runcit, Mohamed Hakkim Farouk, 39, tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalam minyak namun sukar mendapat tepung gandum.
"Tepungberkualiti dan mahal mudah didapati tetapi tepung lebih murah sukar diperolehi," katanya.
Kebiasaannya beliau membeli tepung dua kotak seminggu tetapi kini hanya mendapat satu kotak walaupun bertemu pembekal.
"Sikap pengguna membeli dalam kuantiti banyak kebelakangan ini kerana bimbang bekalan habis menyebabkannyatidak mencukupi," katanya.