Halangan utama parti itu berkembang di Kelantan ialah kerana ia dituduh sebagai parti Cina oleh parti lawan.

Pada pilihan raya Mei lepas, PAS memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN dan selebihnya BN, manakala PH gagal memenangi sebarang kerusi, baik di peringkat DUN atau Parlimen.
PETALING JAYA: Sebut sahaja Kelantan mesti terbayang di fikiran masyarakat umum bahawa rakyat negeri itu merupakan penyokong tegar antara 2 parti sahaja, iaitu PAS dan Umno, kerana 95% penduduknya adalah orang Melayu.
Namun geopolitik negeri itu kini berbeza apabila rakyat negeri Serambi Mekah itu mula menunjukkan minat luar biasa untuk menjadi ahli DAP, khususnya selepas kejayaan Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya.
Koordinator DAP Kelantan, Mohd Fauzi Mohd Azmin berkata, sehingga kini keahlian DAP di negeri itu mencecah 1,500 orang.
“Keahlian terbaru sekarang jumlahnya 1,500, terdiri daripada 1,100 Orang Asli, selebihnya Melayu, Cina, India dan Siam. Ahli berbangsa Melayu kedua paling ramai.
“Jumlah itu merupakan hasil permohonan sebelum pilihan raya, keahlian selepas itu telah bertambah, tapi kita belum luluskan. Kita sedang buat tapisan. Kita perlu berhati-hati dan tidak mahu main pilih, khususnya bekas ahli Umno, sebab kita tak mahu orang masuk untuk mengambil kesempatan.
“Jumlah keseluruhan cawangan DAP Kelantan kini sebanyak 20 melibatkan kawasan Kota Bharu, Tanah Merah, Rantau Panjang, Gua Musang,” katanya kepada FMT, sambil memaklumkan pihaknya mensasarkan dalam tempoh 3 tahun akan datang parti itu dapat membuka sekurang-kurangya 3 cawangan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan dengan jumlah minimum keahlian seramai 1,000 orang.
Fauzi berkata sasaran itu dibuat selaras dengan pendirian veteran DAP, Lim Kit Siang yang mensasarkan 4 negeri yang kini dimenangi pembangkang, termasuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Lim Kit Siang, 4 negeri yang menjadi sasaran DAP untuk dimenangi ialah Kelantan, Pahang, Perlis dan Terengganu yang diperintah PAS dan BN, katanya.
Pada pilihan raya Mei lepas, PAS memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN dan selebihnya BN, manakala PH gagal memenangi sebarang kerusi, baik di peringkat DUN atau Parlimen.
Dalam perkembangan sama Fauzi turut mengakui, walaupun DAP mula diminati rakyat Kelantan, terdapat halangan besar khususnya daripada PAS dan BN yang memomokkan parti itu sebagai parti Cina.
“Halangan utama di Kelantan ialah isu perkauman dan agama. Kita yang bergerak ini dikatakan membawa agenda Kristian, terutamanya melibatkan kawasan Orang Asli.
“Orang ramai masih memandang DAP sebagai parti Cina. Justeru bagi saya, orang yang masuk DAP sangat kental kerana perlu menghadapi tomahan daripada orang PAS dan Umno, walaupun kebanyakan bekas ahli parti lain yang masuk DAP ialah dari Umno,” katanya.
Katanya, pihaknya turut mensasarkan lebih ramai orang Melayu menyertai DAP bagi melenyapkan tomahan kononnya parti itu dikuasai orang Cina.
“Kita nak lebih banyak keahlian Melayu. Itu sasaran kita,” katanya.