Beberapa siasatan dalaman sedang dijalankan bagi menjawab persoalan mengenai beberapa nama yang dikatakan tertera di laman web rasmi kementerian sebelum ini.

Numan berkata, beliau akan menyerahkan tugas menguruskan akhbar dan media kepada setiausaha akhbar baru yang akan dilantik secara rasmi dalam masa terdekat. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA: Pegawai akhbar kepada menteri belia dan sukan, Numan Afifi, melepaskan jawatannya selepas dikritik dan dikaitkan oleh pembangkang menyokong gerakan tidak bermoral tertentu.
Numan berkata, beliau akan menyerahkan tugas menguruskan akhbar dan media kepada setiausaha akhbar baru yang akan dilantik secara rasmi dalam masa terdekat.
“Kecaman dan ancaman hebat oleh ejen propaganda pembangkang menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi. Justeru saya mengambil keputusan tidak bertugas secara rasmi di kementerian.
“Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju selepas ini. Saya berhasrat mengulangi dan menegaskan kenyataan menteri bahawa setakat ini belum ada sebarang pelantikan rasmi di pejabat menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Numan berkata, beberapa siasatan sedang dijalankan bagi menjawab persoalan mengenai beberapa nama yang dikatakan tertera di laman web rasmi kementerian sebelum ini.
“Saya difahamkan oleh menteri tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah. Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada menteri atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi.
“Menteri menghormati keputusan saya dan bertegas menolak sebarang bentuk diskriminasi. Justeru saya juga memohon supaya tidak dipanjang-panjangkan lagi polemik ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di kementerian samaada sebagai setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas khas.
Beliau berkata demikian bagi menjawab bantahan sesetengah pihak berhubung pelantikan penganjur acara berbuka puasa “Big Iftar” tahun lepas, Numan sebagai “pegawai akhbar” beliau.
Numan dilaporkan menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kempen Pelangi itu dikaitkan dengan penganjuran “Iftar Gay” Jun lalu melibatkan golongan homoseksual.
Bulan lepas, Numan meletakkan jawatan sebagai setiausaha publisiti Pemuda DAP Subang dan ahli jawatankuasa DAP Bandar Utama atas kontroversi yang sama.