
KUALA LUMPUR – Pengasas Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah mahu Menteri Agama menarik balik dan memperbetulkan kenyataannya berhubung soal lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) baru-baru ini.
Ustaz Abu Syafiq Al-Asya’ary berkata, kenyataan itu perlu ditarik balik kerana ia boleh membawa kepada kekecohan rakyat dan salah faham.
Kenyataan Datuk Dr. Mujahid Rawa itu baginya membawa maksud LGBT itu hanya perbuatan dan bukan perjuangan songsang tersebut sedangkan maksud sebenar LGBT adalah perjuangan menyebarkan amalan buruk tersebut.
“Saya memohon maaf sekirannya teguran ini menganggu emosi Dr Mujahid dan pihak kerajaan Malaysia Baru. Waktu yang sama Menteri Agama hendaklah sentiasa berhati-hati dengan idelogi yang merosakkan rakyat cuba dimasukkan dalam Kerajaan Baru seperti ajaran Syiah, Wahabi, LGBT, Khawarij dan selainnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abu Syafiq, LGBT adalah golongan yang memperjuangkan amalan tersebut dan ia jelas melanggar prinsip moral dan seluruh agama didunia.
Ia seperti perjuangan khas mempertahankan amalan merasuah. Bila disebut LGBT ia bererti perjuangan kepada empat amalan buruk
“Jenayah perjuangan LGBT bukan hanya dosa peribadi seperti yang difahami oleh Mujahid Rawa. Ia lebih besar dari itu kerana ia melibatkan institusi kekeluargaan dan masyarakat dan rakyat dalam sebuah negara bahkan ia jelas melanggar Maqasid Syariah yang menjadi teras asas perjuangan Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Konsep ungkapan ‘buat maksiat LGBT dalam bilik ia hanya dosa maka dibiarkan selagi tidak disebarkan’ adalah bukti jelas bahawa Menteri Agama tidak faham bila disebut apa itu LGBT yang sebenarnya.
“Beliau mungkin memahami ia sekadar perbuatan hubungan seks wanita sesama wanita, lelaki sesama lelaki, lelaki bersama lelaki dan juga dia bersama wanita, tukar jantina dan lain-lain amalan terkait seks yang songsang dalam diam dan bilik gelap semata-mata.
“Tidak! Bila disebut LGBT ia adalah perjuangan kumpulan yang mengamalkan perbuatan-perbuatan itu tadi agar dihalalkan oleh pihak lain seluruh umat sepertimana ia juga dibimbanggi oleh Menteri Agama sendiri. Sudah pastinya ia merosakkan rakyat,” jelasnya.
Ini dibuktikan dengan kewujudan persatuan dan yayasan LGBT yang sangat banyak di Malaysia dan seluruh dunia yang memperjuangkan LGBT mlalui program-program anjuran LGBT dan iklan serta pelbagai kenyataan yang jelas dari pihak LGBT bahawa ia adalah perjuangan menyebarkan amalan mereka, katanya.-MalaysiaGazette