KEADILAN DAILY
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar satu piawaian diwujudkan untuk melatih pengasuh bayi.
Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat berkata demikian sewaktu mengulas kematian bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi yang ditemui mati dalam peti sejuk rumah pengasuhnya.
“Perlu ada undang-undang atau peraturan tertentu untuk memastikan pengasuh ini bertanggungjawab dan perlu ada standard tertentu di mana mereka perlu dilatih secukupnya untuk menjaga bayi,” katanya sewaktu bercakap kepada wartawan di Mongolia lawatan kerja tiga hari beliau di Mongolia pada Rabu.
Pada masa sama, beliau menyeru agar keadilan diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam kes itu.
“Kena adil. Tidak boleh jatuhkan hukum macam itu sahaja tanpa beri pembelaan,” katanya.
Rayqal ditemukan lengkap berpakaian dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya pada kira-kira 11 malam, 3 Julai lalu.
Tragedi itu menggemparkan negara dan menjadi bualan orang ramai di media sosial.