Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

3 NGO, The Body Shop lancar kempen bantah perkahwinan bawah umur

$
0
0

 
Kempen atas talian sehingga 30 September ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai yang perkahwinan kanak-kanak masih berlaku di Malaysia pada kadar tinggi.


Tiga NGO dan The Body Shop melancarkan kempen itu untuk menggesa kerajaan meminda undang-undang bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan bagi remaja perempuan kepada 18 tahun tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.


PETALING JAYA: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) bersama sebuah syarikat barang kosmetik dan dandanan diri, The Body Shop hari ini melancarkan kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kadar tinggi perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Persatuan Peguam Wanita, Sisters In Islam dan Women’s Aid Organisation (WAO) bersama The Body Shop memulakan kempen atas talian itu, khususnya di Facebook dan Instagram sehingga 30 September ini.

Mereka mengalu-alukan orang ramai berkongsi pengalaman menggunakan #endchildmarriage, #whenIwas11 dan #notmarriedat11.

“Kesan perkahwinan seperti ini terhadap kanak-kanak adalah amat negatif dari pelbagai sudut, termasuk dari segi pendidikan, kesihatan, kesihatan reproduktif dan masa depan kanak-kanak tersebut.
“Selain itu, kanak-kanak tersebut juga akan lebih terdedah kepada keganasan rumah tangga serta kehidupan yang sempit, tatkala mereka tidak menyambung pelajaran dan tidak mendapat peluang untuk mencari nafkah hidup,” katanya dalam kenyataan kepada FMT hari ini.

Sabtu lalu, pelbagai pihak mengecam tindakan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan berkahwin dengan kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid mengakui sebelum bernikah dengan isteri ke-3, Masaryu Mat Rashid, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.

Pada 2 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan lelaki itu disiasat di bawah elemen antun atau “sexual grooming” mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan menganggap perkahwinan itu tidak sah selagi tiada bukti dikemukakan.

Di Malaysia, mengikut Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki berkahwin ialah 18 tahun dan 16 tahun bagi perempuan. Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan dengan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun. Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Tiga NGO dan The Body Shop berkata, kempen itu bertujuan menggesa kerajaan meminda undang-undang bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan bagi remaja perempuan kepada 18 tahun tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.

“Kejayaan kempen ini bukan sahaja tertakluk kepada pindaan undang-undang terhadap umur perkahwinan, malah apa yang penting juga adalah kesedaran orang awam di Malaysia supaya benar-benar memahami kenapa zaman kanak-kanak itu menjadi tanggungjawab kami, orang dewasa untuk melindungi dan memeliharanya.

“Kanak-kanak mempunyai hak untuk menikmati zaman kanak-kanak, iaitu mereka mempunyai hak belajar, bermain, bercita-cita, mengenali dan menyesuaikan diri dengan perubahan tubuh badan mereka sendiri, belajar tentang erti tanggungjawab dengan sokongan keluarga yang membina.”


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722