THE MALAYSIAN TIMES

KLANG: Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui punca kejadian sehingga menyebabkan kematian bayi berumur lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi segera tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan namun pelbagai cerita tersebar termasuk Adam Rayqal dikatakan ‘digoncang’ sebelum dihentak di kepala oleh suspek yang juga pengasuhnya belum dipastikan kesahihannya oleh polis.
Justeru, beliau berkata satu lagi pasangan yang turut menghantar dua anak mereka untuk diasuh oleh suspek wanita itu akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.
“Apa saja keterangan kita akan nilai. Difahamkan, Adam Rayqal dihantar ke rumah pengasuhnya sekitar pukul 12.30 tengah hari (Selasa) dalam keadaan sihat dan daripada situ, kita akan kumpul apa saja keterangan sehinggalah bayi itu ditemui mati.
Kita akan tengok laporan rasmi perubatan oleh Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini, hari ini.–Bernama