Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii berkata, isu itu kini sudah berada di mahkamah.

Penganjur tabung solidariti untuk Najib Razak berharap dapat mengumpul RM500,000 menjelang Isnin.
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jangan lagi mendedahkan isu berkaitan 1MDB kerana ia kini sudah berada di mahkamah.
Beliau berkata perkara berkenaan 1MDB tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana proses mahkamah sedang berjalan dan semua orang mesti menghormatinya.
Beliau bercakap di kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di mana dia melancarkan tabung solidiriti untuk mengutip RM500,000 bagi membayar ikat jamin Najib selepas bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM1 juta ke atas Najib yang berdepan 4 pertuduhan yang berkaitan dengan RM42 juta yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.
Mahkamah membenarkan Najib membayar RM500,000 hari ini dan bakinya perlu diselesaikan menjelang 3.00 petang pada Isnin.
Razlan berkata Najib terharu dengan inisiatif melancarkan tabung solidariti itu.
“Dalam pertemuan tadi, Najib berkata dia mangsa dendam politik.
“Dia terharu dengan inisiatif ini. Kami mahu dia sedar dia tak bersendirian.
“Kami bersamanya kerana dia benar-benar perlukan sokongan moral dan kewangan,” katanya.
Razlan berkata tabung itu akan menerima sumbangan sehingga tengah hari Isnin.