
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi muncul di kediaman di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur beberapa jam selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di mahkamah.
Ahmad Zahid dilihat memasuki kawasan kediaman bekas perdana menteri itu sekitar jam 7.15 petang dengan menaiki Toyota Vellfire hitam.
Terdahulu, sekitar 6.50 petang kelibat sebilangan besar kenderaan mewah dilihat memasuki memasuki kawasan kediaman Najib.
Antara kenderaan yang dilihat masuk ke kediaman Najib itu adalah yang dipercayai milik Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad; Anggota Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas anggota Parlimen Papar, Datuk Seri Abd Rashid Shirlin serta beberapa buah kenderaan lagi yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya.
Najib hari ini dituduh pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana anak syarikat 1MDB, SRC International di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Dalam pertuduhan yang mendapat perhatian media dalam dan luar negera itu, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.
Najib dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan pasportnya diperintah diserahkan kepada mahkamah.