Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Najib mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa

$
0
0
THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menetapkan tarikh perbicaraan selama 19 hari dari 18 Feb sehingga 28 Feb 2019; 4 Mac sehingga 8 Mac 2019; dan 11 Mac sehingga 15 Mac 2019.

Beliau membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan dua dokumen perjalanan beliau kepada mahkamah.

Hakim juga menetapkan 8 Ogos untuk pengurusan kes dan untuk pendengaran permohonan rasmi Najib supaya satu perintah larangan dikeluarkan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan tuduhan yang dihadapi Najib.

Najib, yang akan mencecah usia 65 tahun pada 23 Julai, dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen. Keempat-empat pertuduhan itu dibacakan semula kepada Najib dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama Perdana Menteri keenam itu didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Najib dituduh melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen serupa.

Pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia telah mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Negara Tommy Thomas menawarkan jaminan RM4 juta dalam bentuk tunai dengan dua penjamin warga tempatan bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib memohon jaminan antara RM500,000 hingga RM800,000 dan hartanah Najib di Jalan Langgak Duta sebagai cagaran antara dua penjamin memandangkan akaun bank Najib, isteri dan anak-anaknya telah dibekukan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722