
Naib Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan semua pemimpin parti itu yang berjaya dipilih untuk bersungguh-sungguh berbakti kepada UMNO dan perjuangannya, orang Melayu dan negara.
Beliau berkata kejayaan yang diperoleh beliau untuk jawatan naib presiden itu juga merupakan satu tanggungjawab dan kepercayaan yang perlu dipikul dengan penuh etika dan kesungguhan.
“Saya memohon kerjasama semua pihak di dalam dan luar parti untuk memberikan sepenuh sokongan, kerjasama serta mendoakan agar perjalanan dan usaha memulihkan UMNO dan mengembalikan kekuatan serta kredibilitinya akan berjalan dengan lancar dan berjaya.
“Ini merupakan satu proses yang berat dan mencabar. Namun, saya yakin, berbekalkan semangat dan dukungan semua pihak, UMNO akan dapat kita pulihkan dengan selayaknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa yang sama, Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan dan bahagian UMNO yang memilih beliau sebagai naib presiden bagi penggal 2018-2021.
“Tahniah dan selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada semua calon dan rakan-rakan seperjuangan lain yang telah berjaya dipilih untuk mengisi semua kerusi lain di semua peringkat, sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri.
“Terima kasih juga kepada semua jawatankuasa dan para penggerak mesyuarat bahagian di seluruh negara yang terlibat dalam menjayakan pemilihan pada kali ini.
“Kerja keras, komitmen serta sumbangan kalian pada parti amat bernilai dan sangat saya sanjung dan hargai,” katanya.