Janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong menteri jika dia menang pilihan raya kecil Teluk Intan tidak bermakna kerana pintu belakang sentiasa terbuka untuk presiden Gerakan itu menjadi menteri walaupun kalah, kata Lim Guan Eng malam tadi.
Setiausaha Agung DAP itu ketika memberikan ucapan kepada kira-kira 1,000 orang pada ceramah di Teluk Intan malam tadi berkata, adalah amalan biasa untuk semua presiden parti komponen BN dilantik sebagai menteri tidak kira jika mereka menang atau kalah dalam pilihan raya.
"Berapa banyak pilihan raya kecil sebelum ini? Banyak. Namun Najib tidak pernah mengumumkan jika calon BN menang, mereka akan dilantik menjadi menteri atau ahli exco kerajaan negeri.
"Sebelum ini, tidak ada calon BN mendapat keistimewaan yang sama. Mengapa Mah begitu istimewa? Ia adalah kerana dia presiden Gerakan. Jika dia bukan presiden, beliau tidak akan mempunyai peluang untuk menjadi menteri,” katanya.
Malam tadi, Najib memberitahu media Malaysia di China yang presiden Gerakan sentiasa menjadi menteri, jadi kemenangan BN Sabtu ini akan menjamin kedudukan Mah dalam Kabinet.
"Gerakan menjadi ahli pengasas BN dan presiden Gerakan sentiasa menjadi menteri.
"Jika Mah menang, maka saya boleh mengumumkan malam ini dia akan menjadi ahli Kabinet," perdana menteri dilaporkan berkata.
Lim memberitahu pemberita kemudiannya kenyataan Najib, yang dibuat hanya dua hari sebelum pilihan raya berlangsung, menunjukkan bagaimana tidak selamatnya Mah dalam pertembungannya dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.
"Dengan membuat pengumuman ini menjelang hari pilihan raya, ia menunjukkan dia bimbang dan bersedia untuk membuat pendirian awal.
"Tetapi ia adalah satu pengumuman kosong. Sejarah menunjukkan kepada kita presiden parti BN akan sentiasa dilantik senator jika kalah pilihan raya, kecuali jika mereka menolak kedudukan seperti (bekas presiden MCA) Chua Soi Lek lakukan,” katanya.
Ketua menteri Pulau Pinang itu mempersoalkan penafian Mah yang beliau akan dilantik sebagai senator dan seterusnya menteri, dengan menegaskan bekas Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon juga mengeluarkan penafian yang sama.
Tetapi selepas Koh hilang kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya umum 2008, beliau menerima jawatan senator daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan menyertai Kabinet.
Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel juga kalah dalam pilihan raya umum 2013, tetapi Najib melantik beliau senator dan menjadikan beliau menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Lim berkata, pengumuman Najib tidak menggoncang keyakinan DAP dalam pilihan raya Sabtu ini, sambil menambah: "Penduduk Teluk Intan boleh menilai sendiri."
Beliau juga menolak idea Teluk Intan akan menjadi lebih baik dengan seorang menteri sebagai ahli Parlimen, mengatakan walaupun menteri, Mah tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk melawan BN.