Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed
Apa hebatnya Dyana Sofya Mohd Daud, 27, setiausaha politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan (P76) sehingga mengundang pelbagai amarah, celaan serta fitnah daripada Umno jika dibandingkan dengan dua ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu yang ada sekarang iaitu Zairil Khir Johari dan Datuk Mohamad Ariff Sabri Mohd Aziz.
Jika dibandingkan Dyana Sofya dengan Zairil dan Ariff Sabri atau nama bloggernya, Sakmongkol AK47, Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Ahli Parlimen Raub ini, mempunyai pengaruh kuat Umno dalam diri masing-masing tetapi tetap memilih untuk bertanding atas tiket parti yang sering dilabelkan 'cauvinis' dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Zairil anak kepada bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari, yang memberikan sumbangan besar dalam dunia pendidikan negara selain pernah menjawat jawatan setiausaha agung Umno.
Manakala Ariff Sabri pula pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Pulau Manis dalam Parlimen Pekan serta dipilih Datuk Seri Najib Razak selaku ketua Umno Bahagian Pekan untuk menjawat jawatan ketua penerangan Umno Bahagian Pekan dari 2004-2008.
Bagaimanapun, harus diakui Zairil dan Ariff Sabri tidak mengalami apa yang dihadapi Dyana Sofya pada ketika ini, yang tiba-tiba menjadi selebriti politik khususnya dalam media sosial sehingga satu Malaysia mahu mengenali gadis Melayu ini. Jadi, apa hebatnya Dyana Sofya yang ibunya, Yammy Samat pernah dipilih sebagai setiausaha Umno Bahagian Ipoh sekitar lewat 1970-an jika dibandingkan dengan dua Ahli Parlimen DAP yang berbangsa Melayu itu.
Adakah disebabkan Dyana Sofya atau lebih senang dengan nama panggilan Dyana, seorang wanita muda Melayu berkelulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sepatutnya kukuh jati diri sebagai orang Melayu memilih perjuangan DAP dengan konsep 'Malaysian Malaysia' menyebabkan ramai orang Umno khususnya pucuk pimpinan parti rasa terancam.
Umno khususnya pucuk pimpinan parti tidak perlu melatah dan marah dengan strategi DAP mencalonkan Dyana sebagai calon mereka di Teluk Intan, jika mereka sedar ia adalah semata-mata untuk meraih sokongan masyarakat Melayu dalam PRK P76.
Jika dikaji dengan mendalam saya amat percaya strategi DAP itu sebenarnya, mahu menguji atau dengan kata lain 'test the water' sokongan pengundi separa bandar yang mempunyai majoriti pengundi daripada bangsa Cina.
Dengan seramai 60,349 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini, dan sebanyak 23,301 atau 35.58% merupakan pengundi Melayu, 25,310 pengundi Cina (41.93%) manakala pengundi India pula 11,468 orang atau 19.05%, DAP berhasrat untuk memecahkan 'sempadan' kaum, agama dan gender sekali gus berusaha keras membuktikan parti berkenaan mewakili semua kaum di Malaysia dan tidak hanya eksklusif kepada orang Cina semata-mata.
Pada masa sama, dalam sedar atau tidak, DAP cuba membuktikan kepada ahlinya atau rakyat Malaysia parti berkenaan sentiasa mengiktiraf bakat politik yang ada dan mereka tidak perlu menaiki tangga dalam parti untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat dan diketengahkan.
Saya sebenarnya, ada terserempak dengan Dyana ketika berkempen dalam PRU13 lalu, apabila 'bossnya' Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah yang terletak bersebelahan dengan kawasan saya iaitu Parlimen Pulai.
Ketika itu, saya mendengar Dyana sememangnya menggunakan aset beliau sebagai wanita muda Melayu profesional untuk menarik sokongan pengundi Melayu Gelang Patah terutama sekali mereka yang tinggal di kampung-kampung.
Dyana tidak segan silu menyatakan beliau adalah lulusan UiTM dan ibu bapanya, ahli Umno tetapi beliau memilih untuk berjuang bersama DAP dan ia menyebabkan ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung-kampung di Gelang Patah yang tercengang dan kehairanan kerana bagi mereka selama ini, DAP adalah milik kaum Cina semata-mata.
Sehingga pada satu tahap saya mendengar Dyana mengeluarkan kad pengenalan untuk ditunjukkan kepada pengundi Melayu Gelang Patah beliau adalah orang Melayu tetapi ahli DAP dan pemimpin pujaannya ketika ini, adalah Lim Kit Siang.
Jadi itukah kehebatan Dyana sehingga dipilih DAP untuk menjadi calon ahli Parlimen mereka menentang calon BN yang juga seorang Cina iaitu Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong. Disebabkan Dyana seorang Melayu, lulusan UiTM dan muda?
Jika itu kriteria yang digunakan DAP dengan mempertaruhkan Dyana, parti itu sebenarnya, secara tidak langsung mengiktiraf kejayaan Umno dalam melahirkan pemimpin politik Melayu berbakat.
Zairil, Ariff Sabri dan juga Dyana, sebenarnya adalah produk Umno dan walaupun mereka memilih acuan DAP untuk perjuangan politik mereka tetapi ketiga-tiga pemimpin Melayu DAP ini, lahirnya dalam perjuangan Umno. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan DAP.
DAP terpaksa menggunakan produk Umno untuk menarik sokongan orang Melayu serta memecahkan benteng Umno di kawasan luar bandar dengan menggunakan semula produk Umno.
Umno juga seharusnya bertepuk tangan gembira kerana DAP mengiktiraf peranan serta kewujudan UiTM yang ditubuhkan khusus untuk orang Melayu walaupun selama ini, mereka menentang dasar UiTM yang tidak selari dengan konsep 'Malaysian Malaysia'.
Parti roket itu sedar hanya produk Umno sahaja yang boleh memecahkan stigma orang Melayu terhadap parti itu bukannya Tunku Abdul Aziz, Zulkifli Mohd Noor dan Ahmad Ton yang sememangnya tidak pernah menghayati perjuangan Umno.
Namun timbul juga persoalan di kalangan pemerhati politik, mengapa Dyana tidak memilih untuk berjuang bersama PKR yang juga parti berbilang kaum dan diterajui oleh bekas 'orang' Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Jika diteliti, perjuangan PKR juga seakan rupa dengan DAP dan kedua-dua parti ini, berkongsi matlamat sama iaitu menumbangkan Umno selepas berjaya menumbangkan parti komponen BN lain seperti MCA, MIC dan Gerakan di Malaysia Barat.
Adakah Dyana tidak yakin dengan perjuangan PKR yang sebenarnya, ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib seorang pemimpinnya iaitu Anwar Ibrahim? Agaknya apa akan terjadi kepada PKR dan PAS, jika sokongan orang Melayu kepada DAP meningkat mendadak sehingga membolehkan parti berkenaan berdiri sendiri mendapat sokongan orang Melayu tanpa bantuan PKR dan PAS dalam PRU akan datang.
DAP sudah membuktikan mereka sudah menunaikan janji untuk memberikan kerusi Parlimen daripada majoriti orang Cina kepada pakatan pembangkang dalam PRU13 lalu tetapi kegagagalan PAS dan PKR membawa kerusi orang Melayu menyebabkan impian menawan Putrajaya berkubur.
Mungkin disebabkan itu, DAP merasakan parti berkenaan tidak boleh berterusan menunggu PAS dan PKR yang sebenarnya, mempunyai asas perjuangan politik yang jauh berbeza dan hanya tidur atas bantal yang sama disebabkan keinginan menumbangkan Umno serta BN sekali gus membentuk kerajaan Pusat baharu.
Walau apa pun teori politik terhadap Dyana dan DAP, mereka sebenarnya, boleh berbangga kerana berjaya mengenengahkan pemimpin muda profesional tanpa perlu mendaki tangga politik dalam parti.
Mahu tidak mahu, Umno dan BN perlu mengakui ciri ini, semakin terhakis dalam parti dan sebab itu, berterusan menggunakan pemimpin sama atau dengan kata lain 'recycle' walaupun, rakyat sudah menolak kepimpinan pemimpin ini.
Suatu ketika dulu, Umno tidak ketandusan dalam mengenengahkan pemimpin muda untuk menjadi calon wakil rakyat. Lihat sahaja Datuk Seri Najib yang dipilih menjadi Ahli Parlimen pada usia 23 tahun, sekurang-kurangnya Dyana masih tidak boleh menandingi rekod yang dipegang presiden Umno ini.
Malah, arwah ayahanda saya, Tok Mat dipilih menjadi ahli Parlimen ketika berusia 30 tahun dan inilah yang dimahukan rakyat pada masa ini, daripada Umno dan BN dengan berterusan mengenengahkan pemimpin muda profesional untuk mewakli parti.
Tidak lengkap rasanya jika saya tidak menyentuh mengenai strategi kempen BN dalam PRK Teluk Intan kerana jelas terbukti sepanjang tempoh berkempen, BN dan Umno berterusan menggunakan kaedah lama untuk membuktikan kepada pengundi parti ini, yang terbaik berjuang demi kepentingan rakyat. Strategi kempen yang menyatakan ahli parti DAP akan menyertai BN dengan membuat majlis tidak lagi sesuai digunakan pada masa kini, kerana ia jelas mudah diputarbelitkan pihak lawan.
Jika tetap mahu mengadakan majlis seperti itu, pastikanlah mereka yang benar-benar mahu menyertai BN adalah dengan rasa ikhlas bukannya disogokkan dengan pemberian barangan sehingga menampakkan BN berterusan mengamalkan budaya 'gula-gula' pilihan raya.
Jika mahu memecahkan undi masyarakat Cina yang menyokong DAP bawalah bekas-bekas pemimpin parti itu yang boleh berkempen untuk BN bagi menerangkan mengapa pengundi dan rakyat perlu memilih BN, bukannya dengan strategi murahan hingga menampakkan kebodohan pemimpin BN menyusun strategi pilihan raya.
Jadi Sabtu ini, akan menjadi penentu sama ada Dyana akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen DAP untuk menjadikan tiga ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu atau tidak.
Sama ada beliau menang atau kalah, ia sebenarnya bukan perkara penting buat DAP kerana bagi mereka, PRU14 adalah paling penting dalam usaha menawan Putrajaya dan jika Dyana menang, ia bermakna strategi mereka mengena dalam usaha membuang stigma orang Melayu terhadap parti berkenaan.
Yang terus tertinggal adalah Umno dan strategi baru perlu dirumus dan digunakan dengan segera bagi menyekat kemaraan DAP ke kubu Umno di luar bandar dan separa bandar.
Dan jika terus leka dibuai mimpi '88 kerusi PRU13' segalanya mungkin terkubur di PRU14 kelak