Abu Backer (kanan) berjabat tangan dengan Ramkarpal ketika bertembung di Pasar Awam Taman Tun Sardon.
GEORGETOWN - Calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan mengajak semua calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor mengadakan debat terbuka di hadapan pengundi kawasan berkenaan.
Beliau berkata, debat itu perlu bagi membolehkan semua lapisan masyarakat hadir mendengar hujah yang akan disampaikan semua calon bertanding.
Menurutnya, calon boleh membahaskan manifesto masing-masing agar pengundi dapat menilai kredibiliti masing-masing dan seterusnya membuat penilaian pada hari mengundi.
“Kita mahu pengundi buat pilihan tepat dengan menilai prestasi dan kebolehan calon bertanding.
“Cabaran ini juga bagi memastikan semua calon dapat bertanding secara sihat pada PRK Bukit Gelugor,” katanya kepada media selepas melawat Pasar Awam Taman Tun Sardon, Gelugor di sini semalam.
Abu Backer turut bertembung dengan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo yang turut berkempen di astaka medan selera berhampiran pasar berkenaan.
Mereka sempat berjabat tangan dan Abu Backer meminta pengunjung membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian nanti.
“Jika tuan-tuan rasakan saya mampu memberi khidmat dan menjalankan tanggungjawab dengan baik, berilah saya peluang kali ini.
“Namun jika tuan-tuan lebih yakin dengan Ramkarpal, maka pilihlah beliau kerana semua pilihan di tangan anda,” katanya.
Selain Abu Backer dan Ramkarpal, turut bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor ialah calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar.